
SHAH ALAM - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tampil menjelaskan kritikan yang diterima beliau daripada ahli partinya sewaktu bergelar Perdana Menteri dalam satu wawancara.
Menurut beliau, kekecewaan yang ditanggung itu tidak pernah ditunjukkan semasa memegang jawatan tersebut.
Jelasnya, laporan yang diterbitkan oleh media tersebut menerusi wawancara itu adalah tidak tepat.
“Rujukan yang dipetik laporan-laporan tersebut telah menyimpang daripada wawancara saya bersama Mingguan Malaysia pada 5 Februari 2023.
"Dalam wawancara itu, saya hanya menyatakan kekecewaan yang tidak pernah ditunjukkan selama ini," jelasnya.
Ismail Sabri menambah, semasa kepemimpinannya,UMNO telah dikritik hebat seolah-olah mereka parti pembangkang walaupun ketika itu beliau berusaha memperkukuh kedudukan ahli dalam jemaah menteri.
“Setiap apa yang berlaku tekanan adalah terlalu kuat pada saya. Cadangan-cadangan yang bagus saya setuju.
“Saya boleh kata kenapa tak gunakan saluran yang betul. Untuk diberi pandangan dari parti mesyuarat MT setiap bulan beritahulah saya apa yang patut kita buat,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya, pada Jumaat.
Tegasnya, dengan mengukuhkan kedudukan ahli partinya dalam parlimen seterusnya membentuk kerajaan turut menerima penilaian yang begitu teruk.
“Saya perdana menteri dari UMNO. Untuk mengukuhkan UMNO daripada 29 menteri kabinet 14 adalah menteri Barisan Nasional (BN) dan perdana menteri. Jadi separuh kabinet itu walaupun kita hanya ada 42 kerusi di parlimen tetapi saya ditekan oleh parti sendiri.
“Kita dilanyak seperti kita ini pembangkang. UMNO ini seolah-olah pembangkang waktu itu daripada kerajaan saya perintah tetapi hari ini disanjung begitu mulia,
“Hanya ada satu Timbalan Perdana Menteri campur dengan lima lagi menteri lain. Enam dalam kabinet, dia kata inilah satu pencapaian yang besar kepada kita,” ujarnya.
Ujar Ismail Sabri beliau tidak menyangka rakan seperjuangan turut menyerangnya.
“Saya sangka saya dipertahankan kalau kritik itu terlalu keras mungkin mereka boleh jadi perisai kepada saya. Tapi mereka sertai bersama untuk serang saya,” jelasnya.
