
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan dakwaan bahawa UMNO 'dilanyak' seperti pembangkang ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanya pendapat peribadi Naib Presiden itu.
Jelas Timbalan Perdana Menteri itu, Ismail Sabri berhak membuat kenyataan sedemikian, namun ia terserah kepada rakyat untuk diadili.
"Selalunya seseorang tokoh yang telah meninggalkan jawatan berpuluh tahun, lima atau sembilan tahun... 22 bulan, 17 bulan atau 14 bulan, mereka merasakan bahawa kepimpinan yang diterajui mereka adalah terbaik dan selepas itu semua tidak baik," katanya sinis.
Menurut Ahmad Zahid, beliau tidak mempunyai sebarang pandangan yang boleh menyanggah atau bersetuju dengan Ismail yang juga bekas Perdana Menteri.
"Jadi kita serahkan kepada masyarakat terutamanya ahli-ahli untuk menilai sendiri," katanya menerusi sidang akhbar selepas majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini pada Khamis.
Terdahulu, Ismail Sabri menerusi wawancara sebuah akhbar tempatan mendakwa beliau ditekan oleh pemimpinnya sendiri dan pada ketika tertentu dibiarkan diserang oleh pembangkang.

