Ismail Sabri yakin Melaka ikut jejak Johor, Negeri Sembilan

LocalPolitics
6 Nov 2026 • 2:35 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ismail Sabri yakin Melaka ikut jejak Johor, Negeri Sembilan

MELAKA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin Barisan Nasional (BN) mampu mencatatkan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagaimana yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, keyakinan itu bersandarkan kerjasama yang jelas antara BN dan PAS sepanjang kempen pilihan raya kali ini. 

“Walaupun saya datang hari pertama kali, nampak yang kerjasama antara BN dengan PAS itu sangat jelas. Dapat sokongan daripada kawan-kawan kita daripada PAS dan sebagainya.

“Hari ini pun, waktu minum ini pun, ada beberapa orang daripada kepimpinan bahagian Pas di Durian Tunggal,” katanya ditemui pemberita semasa menghadiri program kempen BN di Durian Tunggal, di sini.

Ketua UMNO Bahagian Bera itu juga berharap kerjasama itu dapat dikekalkan sehingga hari pengundian bagi memastikan penyokong Pas dan UMNO memberikan undi kepada calon BN di sini. 

“Saya harap keadaan ini berterusan sehingga hari mengundilah. Kerjasama kita itu sehingga hari mengundi dan pastikan semua mengundi kitalah.

“PAS pun mengundi kita, UMNO, BN mengundi. Jadi saya yakinlah kita boleh menang.

“Seperti juga di Johor dan Negeri Sembilan dulu, saya rasa Melaka akan ikut apa yang berlaku di sana,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama ini bukan sahaja penting dalam menghadapi pilihan raya malah turut menyumbang kepada usaha memperkukuh penyatuan Melayu.

“Sekarang apa yang kita buat, UMNO dengan Pas, very clear. Dan kita sebenarnya lebih kepada penyatuan Melayu. Itu yang penting.

“Walaupun kita majoriti tapi kalau kita berpecah macam dulu, kita kalah. Tidak ada maknanya,” katanya. -UTUSAN

 

The post Ismail Sabri yakin Melaka ikut jejak Johor, Negeri Sembilan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved