
MELAKA: Perikatan Nasional (PN) menuntut penjelasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung penangguhan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas UMNO membayar denda RM50 juta.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, apabila denda yang dikenakan mahkamah telah dijelaskan, hukuman penjara sebagai ganti kegagalan membayar denda atau in default of payment tidak lagi sepatutnya menjadi isu.
Beliau yang juga bekas majistret berkata, sekiranya terdapat peruntukan membolehkan Najib menjalani baki hukumannya di rumah, pelaksanaannya seharusnya dilakukan segera.
“Kalau mahkamah menjatuhkan hukuman denda dan juga melaksanakan tempoh pemenjaraan, apabila denda telah dibayar, maka kalau ada peruntukan untuk menjalani penjara itu, dia perlu dilaksanakan segera.
“Sebab kalau tidak membayar denda, biasanya akan diganti dengan penjara in default of payment. Bila pembayaran sudah dibuat, soal penjara ganti denda itu sudah tidak timbul lagi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.
Takiyuddin berkata, perkembangan terbaharu bahawa UMNO telah membayar denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Najib menimbulkan persoalan mengenai pelaksanaan baki hukuman.
“Jadi, sepatutnya tempoh menjalani penjara di rumah, menjalani hukuman itu di rumah, perlu dilaksanakan sesegera mungkin.
“Kalau benda itu belum dilaksanakan, kami menuntut penjelasan daripada kerajaan, khususnya KDN, kenapa ia belum dapat dilaksanakan. Kita tuntut penjelasan terhadap kes Datuk Seri Najib Razak,” katanya.
Beliau berkata, PN akan terus menuntut penjelasan berhubung perkara itu sama ada melalui Parlimen mahupun kepada masyarakat.
“Kalau syarat-syarat yang diberikan itu telah dipenuhi, maka ia perlu dipenuhi.
Ditanya sama ada isu berkenaan boleh menjejaskan kempen PN dan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Takiyuddin berkata, setiap warganegara mempunyai hak yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, hak berkaitan pengampunan diraja perlu dihormati dan tidak boleh dilihat sebagai keistimewaan yang hanya diberikan kepada individu tertentu.
“Setiap orang, setiap warganegara mempunyai hak di bawah Perlembagaan. Begitulah juga pengampunan.
Jelasnya, mana-mana orang yang dihukum menjalani hukuman penjara, selepas satu tempoh tertentu, di bawah Perlembagaan berhak mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong kerana itu adalah hak beliau.
“Kalau dia mendapat hak mengikut Perlembagaan, itu perlu dihormati oleh semua orang,” katanya. -UTUSAN
The post PN tuntut penjelasan penangguhan tahanan rumah Najib appeared first on Utusan Malaysia.





