
TEL AVIV: Israel memberi amaran tidak akan membenarkan Turkiye memperluaskan kehadiran askarnya lebih jauh ke selatan Syria.
Amaran itu dikeluarkan selepas tentera udara rejim Zionis menyerang lapangan terbang di negara itu yang didakwa menjadi lokasi persiapan Ankara untuk menempatkan pasukan tenteranya.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, kehadiran tentera Turkiye di kawasan berkenaan dianggap mengancam keselamatan Israel.
“Kami tidak akan bertolak ansur dengan kehadiran tentera Turkiye yang bertapak lebih jauh ke selatan kerana ia mengancam kami. Kami sudah menyampaikan perkara itu,” katanya dalam video yang dimuat naik ke akaun X miliknya.
Netanyahu berkata, Israel bertindak secara ketenteraan selepas amaran berkenaan tidak diendahkan, merujuk kepada serangan terhadap pangkalan udara Abu Duhur.
“Mesej itu sudah disampaikan, tetapi nampaknya tidak didengari. Jadi, kami memastikan mereka memahaminya dengan lebih jelas,” katanya.
Menurut Netanyahu, Israel mendapati Turkiye berhasrat menempatkan pasukan tentera di sebuah lapangan terbang di selatan garisan Turkiye, berhampiran Aleppo.
Kenyataan itu dibuat selepas Ketua Tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir, mengunjungi zon keselamatan yang diduduki Israel di selatan Syria pada Rabu.
Zamir berkata, tentera Israel memantau perkembangan di sempadan Syria dan tidak akan membenarkan mana-mana pasukan tentera yang dianggap bermusuhan bertapak berhampiran sempadannya.
“Kami masih berdepan perang di pelbagai medan, sentiasa berjaga-jaga dan beroperasi di semua kawasan. Peningkatan ketegangan boleh berlaku di mana-mana sahaja dan kami mesti sentiasa bersiap sedia,” katanya.
Tentera Israel menempatkan anggotanya di zon keselamatan di selatan Syria sejak kejatuhan kerajaan Bashar al-Assad pada Disember 2024.
Kawasan itu sebelum ini merupakan zon penampan tanpa tentera yang dipantau pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bagi memisahkan tentera Israel dan Syria di kawasan Bukit Golan yang diduduki Israel sejak 1974.
Serangan terhadap Abu Duhur, yang terletak di wilayah Idlib di barat laut Syria, berlaku selepas Israel menuduh Damsyik melanggar perjanjian dengan menerima kehadiran tentera Turkiye di pangkalan berkenaan.
Turkiye, yang mempunyai hubungan tegang dengan Israel sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menolak dakwaan tersebut.
Ankara berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan kerajaan Syria bagi menggalakkan keamanan dan kestabilan, selain tidak akan membenarkan negara itu terus digugat ketidakstabilannya. – AGENSI
The post Israel beri amaran kepada Turkiye tentang Syria appeared first on Utusan Malaysia.






