Israel lancar ‘ekosid’ di selatan Lubnan

WorldEnvironment
13 Aug 2026 • 2:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Israel lancar ‘ekosid’ di selatan Lubnan

BEIRUT: Anggota bomba dan penduduk di selatan Lubnan mendakwa tentera Israel sengaja mencetuskan kebakaran hutan di kawasan berkenaan selepas ribuan hektar tanah musnah dijilat api ekoran serangan berterusan rejim Zionis.

Kumpulan alam sekitar berkata, kebakaran yang berlaku sejak beberapa minggu lalu merupakan sebahagian daripada amalan Israel yang telah lama menyasarkan alam sekitar semula jadi Lubnan.

Pengasas Pertubuhan Pemuliharaan Green Southerners, Hisham Younes menyifatkan serangan Israel sebagai ‘ekosid’, corak serangan tentera terhadap alam sekitar di selatan Lubnan bagi merosakkan ekosistem menggunakan senjata, api dan bahan kimia.

“Ini bukan mengenai satu-satu kebakaran atau serangan, tetapi corak kemusnahan yang secara beransur-ansur menghakis keupayaan ekosistem untuk berfungsi, pulih dan mengekalkan kehidupan.

“Apabila kesan berantai itu turut menjejaskan mata pencarian serta keupayaan penduduk untuk kembali dan terus tinggal di tanah mereka, kemusnahan alam sekitar tidak boleh dipisahkan daripada perubahan lebih luas terhadap wilayah itu sendiri,” katanya.

Pada Selasa, tentera Israel melepaskan suar di kawasan berhutan di luar Khiam, selatan Lubnan, sehingga mencetuskan kebakaran.

Menurut Ketua Pertahanan Awam Wilayah Nabatieh, Hussein Fakih, ketika anggota bomba cuba memadamkan api, sebuah dron menyerang kawasan berhampiran, memaksa mereka berundur.

“Kebanyakan operasi kami kini berkaitan kebakaran. Kawasan hutan yang terbakar sangat luas. Saya tidak mempunyai angka tepat, tetapi di kawasan berhampiran barisan hadapan, sekitar 30 hingga 40 peratus tanah terjejas akibat kebakaran.

“Dron kecil datang dan menjatuhkan bahan pembakar, peluru fosforus putih dilepaskan ke kawasan hutan, selain suar pencahayaan yang dijatuhkan pada waktu siang sehingga tumbuh-tumbuhan terbakar,” katanya.

Menurut video dan keterangan anggota penyelamat, tentera Israel menyebabkan kebakaran di seluruh selatan Lubnan, khususnya di kawasan kebun zaitun dan tanah pertanian sepanjang hampir dua bulan sejak gencatan senjata pada 17 Jun.

“Pada Jumaat, serangan menggunakan senjata Israel mencetuskan kebakaran besar di dua kawasan yang dilitupi hutan tebal di Kfarchouba berhampiran sempadan dan kawasan antara Jezzine dengan Lembah Bekaa Barat.

“Selepas anggota bomba bertungkus-lumus sepanjang malam dan berjaya memadamkan api pada Sabtu, sebuah dron kedua mencetuskan kebakaran baharu pada Ahad,” kata ketua stesen pertahanan awam di kawasan itu, Samir Hardan.

Pakar kesihatan dan alam sekitar turut memberi amaran pada Februari selepas pesawat Israel didakwa menyemburkan racun herba yang dikaitkan dengan kanser ke atas kawasan pertanian di selatan Lubnan.-AGENSI

The post Israel lancar ‘ekosid’ di selatan Lubnan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved