
GEORGE TOWN : Empat pemilik syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 30 pertuduhan iaitu mengemukakan tuntutan palsu di bawah Program Insentif Daya Kerjaya 2.0 kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), kira-kira dua tahun lalu.
Tertuduh, Phua Ai Ling, 45; Wong Joon Hong, 40; Goh Chee Wai, 43; dan Neoh Wooi Lee, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas semua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Irwan Suaibon.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh sebagai pemilik syarikat masing-masing didakwa mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 yang mengandungi butiran palsu kepada ejen Perkeso dengan niat memperdayakan prinsipalnya di beberapa premis perniagaan dalam daerah Timur Laut antara tempoh 1 Mac hingga 26 Ogos 2024.
Wooi Lee yang mempunyai empat syarikat berbeza berdepan 21 pertuduhan diikuti oleh Chee Wai dengan enam pertuduhan manakala Joon Hong Ai Ling masing-masing memiliki dua dan satu pertuduhan. Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.
Sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butiran palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurnajihatul Idayu Mohd. Azuyar bersama Lim Jin Hong manakala dua daripada tertuduh iaitu Wooi Lee dan Joon Hong diwakili peguam yang sama iaitu K. Mahendran.
Seorang lagi tertuduh, Chee Wai diwakili peguam Teh See Khoon manakala Ai Ling pula tidak diwakili mana-mana peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan Wooi Lee diikat jamin RM28,000 bagi semua pertuduhan, manakala Ai Ling, Joon Hong dan Chee Wai masing-masing dibenarkan diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.
Selain itu, mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu kesemua tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM pada setiap 1 hari bulan, tidak mengganggu saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 September depan bagi tujuan serahan dokumen.-UTUSAN
The post Empat pemilik syarikat didakwa kemuka tuntutan palsu kepada Perkeso appeared first on Utusan Malaysia.






