Israel buka siasatan selepas mengaku tembak kereta Hind Rajab

WorldPolitics
20 Aug 2026 • 11:02 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Israel buka siasatan selepas mengaku tembak kereta Hind Rajab

KAHERAH: Tentera Israel pada Rabu mengakui tenteranya melepaskan tembakan ke arah kereta dinaiki kanak-kanak Palestin berusia lima tahun, Hind Rajab, bersama anggota keluarganya di Gaza pada 2024, dan membuka siasatan jenayah berhubung insiden itu.

Bagaimanapun, kumpulan hak asasi manusia berkata siasatan seumpama itu jarang berakhir dengan sabitan.

Kematian Hind menjadi antara insiden paling mendapat perhatian membabitkan kematian orang awam dalam serangan ketenteraan Israel di Gaza yang bermula susulan serangan diketuai Hamas ke atas selatan Israel pada 2023.

Hind ditemukan maut selepas terperangkap dalam kereta selama beberapa jam sambil merayu menerusi telefon bimbit kepada petugas perubatan Palestin supaya menghantar bantuan.

Ketika itu, ibu saudara, bapa saudara dan tiga sepupunya sudah terbunuh di dalam kenderaan berkenaan.

Sebuah ambulans kemudian dihantar ke lokasi, namun petugas perubatan terputus hubungan dengan Hind dan pasukan penyelamat sejurus ambulans tiba.

12 hari kemudian, mayat Hind, anggota keluarganya serta dua petugas ambulans ditemukan di kawasan berkenaan.

Sebelum ini, tentera Israel menafikan tenteranya berada di kawasan berhampiran lokasi Hind terbunuh.

Namun, tentera Israel pada Rabu berkata siasatan selama beberapa bulan oleh mekanisme pencarian fakta dalaman mendapati tenteranya melepaskan tembakan ke arah kenderaan berkenaan ketika ia menghampiri kedudukan mereka.

Tentera Israel berkata, sebuah peluru kemudiannya dilepaskan ke arah ambulans Bulan Sabit Merah Palestin yang dihantar untuk menyelamatkan Hind.

“Susulan penelitian terhadap hasil siasatan dan berikutan dakwaan kegagalan dalam penyelarasan pergerakan ambulans Bulan Sabit Merah Palestin, keputusan dibuat untuk membuka siasatan jenayah terhadap insiden berkenaan,” menurut tentera Israel dalam satu kenyataan.

Tentera Israel berkata, Mekanisme Pencarian Fakta dan Penilaian turut akan membuka siasatan jenayah berhubung pembunuhan 15 petugas kecemasan dan bantuan pada Mac 2025.

Dalam tiga insiden lain, termasuk pembunuhan tujuh petugas bantuan daripada badan amal World Central Kitchen pada April 2024, tentera Israel berkata pihaknya tidak menemukan asas untuk membuka siasatan jenayah.- AGENSI

The post Israel buka siasatan selepas mengaku tembak kereta Hind Rajab appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved