
Tentera Israel pada Rabu mengakui bahawa anggota tenteranya melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta yang dinaiki kanak-kanak berusia lima tahun, Hind Rajab, di Gaza pada 2024.
Memetik AFP, tentera Israel memaklumkan bahawa siasatan jenayah telah diarahkan berhubung insiden pembunuhan yang mencetuskan kemarahan antarabangsa itu.
Mayat Hind Rajab ditemukan di dalam sebuah kereta yang dipenuhi kesan tembakan di Gaza City, beberapa hari selepas kali terakhir suaranya didengari menerusi panggilan telefon kecemasan selama beberapa jam kepada Bulan Sabit Merah Palestin pada 29 Januari 2024.
Sebelum ini, tentera Israel menafikan bahawa anggotanya berada di kawasan berhampiran lokasi kejadian, lapor AFP.
“Susulan penelitian terhadap hasil siasatan dan berikutan dakwaan kegagalan dalam penyelarasan pergerakan ambulans Bulan Sabit Merah Palestin, keputusan telah dibuat untuk memulakan siasatan jenayah terhadap insiden itu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Polis Tentera,” kata tentera Israel pada Rabu.

Selain kes Hind Rajab, tentera Israel turut menerbitkan hasil semakan terhadap empat lagi insiden berprofil tinggi di Gaza, sambil memaklumkan bahawa siasatan jenayah juga akan dimulakan berhubung pembunuhan 15 rakyat Palestin pada 2025, termasuk petugas perubatan dan kemanusiaan.
Dalam kejadian yang menyayat hati itu, Hind Rajab membuat panggilan kecemasan selepas kereta yang dinaikinya bersama ahli keluarga ditembak ketika mereka cuba melarikan diri dari Gaza City susulan kemaraan tentera Israel di utara wilayah Palestin itu.
Mayatnya akhirnya ditemukan bersama enam ahli keluarganya serta dua anggota penyelamat Bulan Sabit Merah yang dihantar untuk mencarinya.
Kematiannya mencetuskan kemarahan antarabangsa dan desakan supaya satu siasatan bebas dijalankan. Rakaman audio asal panggilan kecemasannya turut dimasukkan dalam filem cereka yang dicalonkan untuk Oscar, The Voice of Hind Rajab.
Sementara itu, sebuah organisasi undang-undang berpangkalan di Brussels, Hind Rajab Foundation, berkata pihaknya tidak mempunyai keyakinan terhadap langkah yang diumumkan tentera Israel itu.
“Siasatan yang dilaporkan ini, walaupun benar-benar dijalankan, tidak seharusnya dianggap sebagai satu langkah sebenar ke arah keadilan,” katanya dalam satu kenyataan.
Organisasi itu turut mendakwa siasatan dalaman Israel mempunyai kelemahan asas dan tidak boleh dianggap sebagai mekanisme pertanggungjawaban yang boleh dipercayai.






