Israel Dakwa Akan Hantar Pulang Peserta Misi GSF Yang Ditahan Ke Eropah

WorldPolitics
2 Oct 2025 • 7:00 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Kementerian Luar Israel mengumumkan bahawa aktivis dan sukarelawan daripada Global Sumud Flotilla (GSF) yang telah dipintas akan dihantar pulang ke Eropah.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik oleh kementerian itu di laman X sebentar tadi (2 Oktober), kesemua peserta flotilla dilaporkan sedang bergerak dalam keadaan selamat dan aman ke Israel.

“Peserta sumud di atas kapal layar mereka sedang menuju ke Israel dengan selamat dan aman, di mana prosedur deportasi mereka ke Eropah akan bermula,” dakwa kenyataan itu.

Ia turut mendakwa bahawa semua penumpang di dalam kapal yang telah ditahan berada dalam keadaan sihat.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby mengesahkan kapal GSF telah dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa di saat konvoi itu sedang menuju ke Gaza untuk misi kemanusiaan.

Lebih 200 peserta GSF termasuk rakyat Malaysia ditahan tentera Israel

Memetik MalayMail, daripada 497 peserta misi GSF, seramai kira-kira lebih 200 peserta dilaporkan telah ditahan oleh tentera Israel.

Laman Facebook Sumud Nusantara Global juga sebelum ini memaklumkan seramai 15 rakyat Malaysia termasuk Zizi Kirana dan Heliza Helmi kini berada di bawah tahanan rejim zionis itu.

Kesemua mereka ditahan selepas kapal-kapal yang dinaiki dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan di Gaza telah dipintas oleh tentera Israel sejak awal pagi tadi.

PM Anwar sahkan 23 orang Malaysia ditahan tentera Israel

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran video yang dimuat naik sebentar tadi mengesahkan bahawa 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi berkenaan telah ditahan oleh tentera Israel.

Anwar yang mengecam perkara itu berkata, beliau telah menghubungi rakan sejawat dari Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bagi memaklumkan perkara tersebut.

“Sejak saya memperoleh maklumat tentang penahanan 23 anak-anak Malaysia di atas kapal Sumud Flotilla bersama rakan-rakan lain dari seluruh dunia, saya terus menghubungi Perdana Menteri Qatar, Presiden Turkiye dan petang ini, saya akan (menghubungi) Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi.

“Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) akan menghubungi beberapa rakan lain, termasuk Setiausaha Amerika Syarikat (Marco Rubio) untuk meminta mereka campur tangan bagi memastikan kebebasan semua yang ditahan oleh rejim Israel,” katanya dalam sidang sidang akhbar khas mengenai perkembangan terkini GSF.