Israel Isytihar Kampung di Tebing Barat Sebagai ‘Zon Tentera Tertutup’, Paksa Delegasi Eropah Beredar

WorldPolitics
17 Nov 2026 • 9:22 AM MYT
UmmahToday
UmmahToday

From Ummah To Ummah News Portal

Image from: Israel Isytihar Kampung di Tebing Barat Sebagai ‘Zon Tentera Tertutup’, Paksa Delegasi Eropah Beredar

Tentera Israel pada Isnin mengisytiharkan sebuah perkampungan Palestin di Tebing Barat yang diduduki sebagai “zon tentera tertutup”, sekali gus memaksa delegasi Eropah yang sedang mengadakan lawatan beredar dari kawasan berkenaan ketika wakil Kesatuan Eropah (EU), Andreas Fiedler, menggesa keganasan penjajah terhadap rakyat Palestin dihentikan segera.

Fiedler, yang merupakan wakil EU di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, bercakap kepada Agensi Anadolu semasa lawatan delegasi itu ke Khirbet Umm al-Khair di Masafer Yatta, selatan Hebron.

Perintah penutupan tentera tersebut turut memaksa Gabenor Hebron, Khaled Dudin, bersama delegasi terbabit meninggalkan lokasi berkenaan.

Terdahulu, pejabat Gabenor Hebron telah menjemput pengamal media untuk membuat liputan lawatan itu yang dianjurkan bagi menilai keadaan semasa di kampung berkenaan di tengah-tengah peningkatan serangan oleh penjajah haram Israel dan pasukan tentera.

“Keganasan peneroka di Tebing Barat mesti dihentikan. Israel mesti memastikan peneroka yang terlibat dalam keganasan terhadap rakyat Palestin dipertanggungjawabkan,” tegas Fiedler sambil memaklumkan bahawa EU telah mengenakan sekatan terhadap penjajah Israel yang bertanggungjawab melakukan keganasan.

Beliau turut menegaskan bahawa penempatan Israel adalah haram di sisi undang-undang antarabangsa, serta memberi jaminan bahawa EU akan terus menyokong komuniti Palestin di kawasan itu demi menjamin kehidupan yang lebih baik buat penduduknya.

Menyifatkan perjalanan tersebut sebagai lawatan pertamanya ke kawasan pentadbiran Hebron, Fiedler menekankan kepentingan untuk meninjau sendiri keadaan di lapangan dan mendengar keluhan daripada datuk bandar komuniti Palestin.

Kampung Umm al-Khair berdepan serangan penjajah yang semakin meningkat, termasuk pembinaan pos penempatan haram di dalam dan sekitar komuniti, perobohan rumah serta struktur bangunan lain, serangan fizikal ke atas penduduk, di samping sekatan pergerakan terhadap mereka.

Dianggarkan kira-kira 750,000 peneroka haram kini menetap di 156 penempatan haram dan 360 pos kawalan di seluruh Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur. Israel telah menduduki Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sejak tahun 1967, dan masyarakat antarabangsa mengiktiraf penempatan Israel di wilayah diduduki sebagai melanggar undang-undang antarabangsa.

Menurut perangkaan pihak Palestin, operasi ketenteraan Israel dan serangan penjajah di Tebing Barat yang dipergiatkan sejak Oktober 2023 telah meragut lebih 1,220 nyawa rakyat Palestin dan mencederakan kira-kira 13,746 orang, manakala lebih 26,000 lagi ditahan dalam tempoh sama.

Rakyat Palestin memberi amaran bahawa peningkatan serangan, pengusiran penduduk serta peluasan penempatan haram tersebut membuka laluan kepada pengilhakan rasmi Israel ke atas Tebing Barat, sekali gus memusnahkan prospek penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.

Sumber: Agensi Anadolu (Anadolu Ajansı)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved