
TEL AVIV: Israel memeterai perjanjian pertahanan bernilai kira-kira 3 bilion euro (RM14 bilion) dengan Greece. Perjanjian itu adalah untuk membangunkan sistem pertahanan udara, Achille Shield di Greece.
Kementerian Pertahanan Israel dalam kenyataan kelmarin berkata, sistem itu akan merangkumi rangkaian pertahanan udara bersepadu menggunakan sepenuhnya teknologi buatan negara haram itu.
Menurut kementerian itu, sistem berkenaan turut dibangunkan berdasarkan pengalaman operasi yang diperoleh Israel semasa perang.
“Ini merupakan perjanjian eksport pertahanan terbesar dalam sejarah hubungan Israel-Greece dan antara yang terbesar dalam sejarah Israel,” menurut kenyataan tersebut.
Perjanjian berkenaan ditandatangani Ketua Pengarah Kementerian Pertahanan Israel, Amir Baram dan rakan sejawatnya dari Greece, loannis Bouras di Tel Aviv.
Akhir Julai lalu, sumber Kementerian Pertahanan Greece memaklumkan kepada agensi berita AFP bahawa Athens merancang membeli sistem antipeluru berpandu, antipesawat dan antidron buatan Israel.
Pembelian itu merupakan sebahagian daripada pelaburan pertahanan lebih besar bernilai 4.2 bilion euro (RM19.6 bilion) untuk pembangunan sistem Achilles Shield.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan Greece berkata pembelian bernilai berbilion euro itu merupakan sebahagian daripada reformasi terbesar angkatan tenteranya dalam sejarah negara berkenaan.
Menteri Pertahanan Greece, Nikos Dendias, dipetik sebagai berkata, perkembangan teknologi terkini sejak sekian lama menjadikan doktrin pertahanan sedia ada lapuk sepenuhnya.
“Greece merupakan negara pertama dalam Kesatuan Eropah (EU) yang menerima pakai sistem pertahanan udara berlapis seperti sistem buatan Israel itu,” katanya.
Menurut Kementerian Pertahanan Israel, perjanjian eksport berkenaan merangkumi sistem pemintas David’s Sling, Barak MX dan SPYDER, radar pengawasan udara serta sistem arahan dan kawalan kebangsaan baharu. – AGENSI
The post Israel jual sistem pertahanan udara bersepadu bernilai RM14 billion kepada Greece appeared first on Utusan Malaysia.



