
TEL AVIV: Israel melaporkan kematian pertama anggota tenteranya di selatan Lubnan dalam tempoh lebih sebulan selepas melancarkan serangan baharu meskipun rundingan tajaan Amerika Syarikat (AS) sedang berlangsung di Rom bagi menamatkan permusuhan.
Tentera Israel mengenal pasti dua anggota simpanan yang terbunuh dalam pertempuran semalam sebagai Mejar Harel Birenstock, 34, dan Sarjan Mejar Tamir Vaknin, 33, daripada Batalion 2855, Briged 55.
Kematian itu merupakan korban tentera Israel pertama yang dilaporkan di selatan Lubnan sejak 28 Jun.
Serangan Israel, yang disertai amaran pemindahan pertama dalam tempoh beberapa minggu, berlaku ketika AS mengetuai rundingan antara Israel dan Lubnan di Rom bagi menamatkan permusuhan, dengan Beirut menggesa pengunduran tentera Israel secara berperingkat dari selatan.
“Sebagai tindak balas terhadap pelanggaran terang-terangan gencatan senjata oleh pertubuhan pengganas Hizbullah, IDF mula melancarkan serangan tepat di selatan Lubnan,” menurut kenyataan tentera Israel, tidak lama selepas penduduk bandar Mansouri di selatan diarahkan berpindah.
Media rasmi Lubnan melaporkan seorang maut manakala 11 lagi cedera dalam serangan berasingan.
Di Rom, Israel meminta rundingan pada hari berkenaan dengan Lubnan ditamatkan tiga jam lebih awal, menurut sumber dalam rundingan kepada AFP, yang berkata ketua delegasi Israel, Duta Besar AS Yechiel Leiter, menyalahkan dakwaan kebocoran mengelirukan pihak Lubnan.
Bagaimanapun, rundingan dijangka disambung pada Khamis untuk hari ketiga dan terakhir.
Dalam rundingan tajaan AS sebelum ini, Israel dan Lubnan bersetuju dengan rangka perjanjian yang merangkumi pelucutan senjata Hizbullah, pengunduran berperingkat tentera Israel dari selatan Lubnan serta penempatan tentera Lubnan di wilayah berkenaan, bermula di kawasan percubaan yang dikenali sebagai ‘zon perintis’.
Rundingan minggu ini merupakan pusingan ketujuh sejak Hizbullah mengheret Lubnan ke dalam perang di Asia Barat pada Mac dengan melancarkan serangan roket ke Israel sebagai sokongan kepada sekutunya, Iran.
Israel bertindak balas dengan serangan udara besar-besaran dan pencerobohan darat yang menurut Lubnan mengorbankan lebih 4,300 orang.- AFP
The post Israel lapor korban pertama di selatan Lubnan appeared first on Utusan Malaysia.



