
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Pihak berkuasa Israel semalam (2 Oktober) mula mengadakan perbicaraan pengusiran terhadap aktivis dan sukarelawan misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan semasa sedang berlayar di atas kapal untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Memetik laporan Anadolu Ajansi (AA), Pusat Undang-undang untuk Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mereka menerima panggilan daripada peserta flotilla itu.
Menurut Adalah iaitu pusat undang-undang pertama yang dikendalikan oleh rakyat Arab Palestin di Israel, para peserta berkenaan melaporkan pegawai imigresen memulakan sesi perbicaraan berkaitan penahanan dan perintah pengusiran mereka di Pelabuhan Ashdod sejurus tentera Israel menggempur puluhan kapal GSF.
“Proses itu dimulakan tanpa sebarang notis awal kepada peguam mereka dan pada masa sama, menafikan akses peserta kepada khidmat guaman,” katanya dipetik Berita Harian.
Sifatkan tindakan Israel sebagai ‘pelanggaran proses keadilan dan hak asasi peserta’
Susulan itu, Adalah menyifatkan tindakan terbabit sebagai ‘pelanggaran serius terhadap proses keadilan dan penafian hak asasi peserta’.
Pun begitu, Adalah menegaskan mereka akan terus berusaha mendapatkan akses undang-undang dan mengambil tindakan perundangan jika perlu.
Pusat undang-undang itu kemudian memaklumkan bahawa pasukan guamannya berjaya memasuki pelabuhan untuk bertemu aktivis yang ditahan, walaupun sebelum itu dinafikan akses oleh pihak berkuasa negara haram berkenaan.
Kapal-kapal GSF dipintas tentera Israel, para peserta termasuk dari Malaysia ditahan
Terdahulu, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby mengesahkan kapal-kapal GSF telah dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa pada lewat malam kelmarin dan awal pagi semalam.
Laman Facebook Sumud Nusantara Official kemudiannya memuat naik satu persatu video-video mesej kecemasan oleh para peserta Malaysia sebagai tanda mereka telahpun ditahan oleh tentera rejim zionis itu.
Bermula dari 8 orang, kemudiannya naik menjadi 12 peserta dan akhir sekali Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kesemua 23 aktivis serta sukarelawan Malaysia telahpun ditangkap.
Kementerian Luar Israel kemudiannya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di lama X mendakwa bahawa aktivis dan sukarelawan daripada GSF yang telah ditahan mereka itu akan dihantar pulang ke Eropah.
Baca Artikel Berkaitan: Global Sumud Flotilla: Masjid Serta Surau Bawah JAKIM & JAWI Diarah Buat Solat Hajat, Qunut Nazilah
Baca Artikel Berkaitan: Israel Dakwa Akan Hantar Pulang Peserta Misi GSF Yang Ditahan Ke Eropah


