
TEL AVIV: Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, menggesa serangan udara ke atas Gaza dipertingkatkan dan mencadangkan Israel membunuh antara 30 hingga 40 rakyat Palestin setiap hari.
Pemimpin parti berhaluan kanan Jewish Power itu turut mengulangi gesaan supaya rakyat Israel ditempatkan semula di Gaza, yang akan menyebabkan penduduk Palestin asal dihalau dari wilayah berkenaan.
Ben-Gvir berkata demikian dalam podcast October 8 yang dikendalikan bekas tahanan Israel yang pernah ditahan Hamas, Rom Braslavski.
Jerusalem Post pada Isnin menerbitkan petikan temu bual itu, yang menyaksikan Ben-Gvir berkata Israel tidak seharusnya mengehadkan serangan kepada pihak yang menimbulkan ancaman.
Sebaliknya, beliau menggesa serangan udara diperluaskan ke seluruh Gaza. Beliau turut mendakwa terdapat penduduk yang ‘tidak layak untuk hidup’ dan langsung bukan manusia.
Beliau turut berkata, penduduk Palestin yang tidak terlibat dalam pertempuran tidak seharusnya dikecualikan daripada serangan Israel.
Merujuk kepada seorang wanita yang pernah memberikan makanan kepada Braslavski ketika dia ditahan di Gaza, Ben-Gvir melabel wanita itu sebagai ‘pengganas’ yang perlu ditembak di kepala.
Braslavski, seorang tentera Israel yang ditawan pada 7 Oktober 2023, kemudian dibebaskan menerusi pertukaran tahanan antara Hamas dan Israel pada 13 Oktober 2025.
Ben-Gvir turut mengulangi gesaannya supaya penempatan Israel diwujudkan semula di Gaza, sambil berkata: “Saya melihat seluruh Gaza sebagai milik kita.”
Beliau berkata penempatan itu tidak seharusnya terhad kepada bekas blok penempatan Gush Katif yang dikosongkan Israel pada 2005, sebaliknya perlu diperluaskan ke seluruh wilayah Gaza.
Beliau turut menggesa penduduk Palestin di Gaza meninggalkan tanah air mereka secara sukarela, dengan menyeru supaya berlaku ‘penghijrahan sebanyak mungkin’.
Ben-Gvir berkata, Israel sepatutnya membunuh 30 hingga 40 penduduk Gaza dalam serangan setiap malam, selain menegaskan mereka yang dilabelnya sebagai pengganas perlu dibunuh seorang demi seorang.
The post ‘Israel patut bunuh 30 hingga 40 rakyat Palestin sehari’ appeared first on Utusan Malaysia.





