Makin ramai rakyat Israel ‘lari’ tinggalkan negara

WorldPolitics
18 Aug 2026 • 6:17 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Makin ramai rakyat Israel ‘lari’ tinggalkan negara

TEL AVIV: Jumlah rakyat Israel yang kembali ke negara itu merosot 53 peratus dalam tempoh 2022 hingga 2024, ketika bilangan mereka yang meninggalkan Israel pula meningkat, menurut laporan rasmi Knesset.

Laporan Pusat Penyelidikan dan Maklumat Knesset itu dikeluarkan selepas akhbar Yedioth Ahronoth melaporkan peningkatan jumlah rakyat Israel yang meninggalkan negara itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut laporan itu, jumlah rakyat Israel yang kembali ke negara berkenaan merosot secara mendadak dalam tempoh terbabit.

“Gelombang permusuhan terhadap Israel di seluruh dunia dan rasa kekitaan sepatutnya mendorong peningkatan jumlah rakyat Israel yang kembali, walaupun ketika perang,” lapor Yedioth Ahronoth dengan memetik laporan berkenaan.

Perkembangan itu berlaku ketika Israel berdepan kecaman antarabangsa berhubung perang di Gaza yang dilancarkan sejak 8 Oktober 2023.

Perang berkenaan mengorbankan lebih 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 174,000 yang lain, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selain memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur Gaza.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kos pembinaan semula Gaza mencecah kira-kira AS$70 bilion (RM284 bilion).

Bagaimanapun, laporan Knesset itu tidak menyatakan jumlah rakyat Israel yang kembali ke negara berkenaan pada 2025.

Akhbar itu berkata penurunan berkenaan berlaku serentak dengan data terbaharu Biro Pusat Perangkaan Israel dan penyelidik akademik yang menunjukkan peningkatan ketara jumlah rakyat Israel yang meninggalkan negara itu.

“Laporan itu turut meneliti beberapa cabaran birokrasi, ekonomi dan sosial yang menyukarkan rakyat Israel membuat keputusan untuk pulang,” lapor akhbar berkenaan.

Antara cabaran tersebut termasuk tempoh menunggu yang panjang untuk mendapatkan insurans kesihatan kerajaan, manfaat yang lebih rendah berbanding pendatang baharu, kesukaran mendapatkan pekerjaan serta masalah menyesuaikan anak-anak dalam sistem pendidikan.

Menurut Yedioth Ahronoth, purata jumlah rakyat Israel yang pulang setiap tahun adalah kira-kira 9,300 orang antara 2008 hingga 2012, sebelum menurun kepada sekitar 7,400 orang bagi tempoh 2013 hingga 2020.

“Jumlah mereka yang pulang merosot dengan ketara daripada kira-kira 8,000 orang pada 2020 kepada sekitar 3,800 orang pada 2024, iaitu jumlah terendah dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” lapor akhbar itu.

Menurut akhbar berkenaan, laporan tersebut menyatakan penurunan paling ketara berlaku pada 2023, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Penurunan jumlah rakyat Israel yang pulang turut menyumbang kepada defisit migrasi Israel antara 2022 hingga 2024, yang mengukur perbezaan antara jumlah individu yang masuk dan meninggalkan negara itu.

Menurut data Biro Pusat Perangkaan yang dipetik dalam laporan itu, Israel mencatatkan defisit migrasi kira-kira 140,000 orang dalam tempoh tiga tahun berkenaan.

Akhbar itu berkata Amerika Utara sejak sekian lama menyumbang jumlah terbesar rakyat Israel yang pulang, namun jumlah mereka yang kembali dari wilayah berkenaan turut merosot dengan ketara.

Kira-kira separuh daripada keseluruhan rakyat Israel yang pulang antara 2005 hingga 2024 berasal dari Amerika Utara, manakala 13 peratus lagi dari Britain, Jerman dan Perancis serta enam peratus dari Rusia dan Ukraine.

Jumlah rakyat Israel yang pulang dari Amerika Syarikat (AS) merosot ketara daripada kira-kira 3,700 orang pada 2020 kepada hanya 1,500 orang pada 2024.

The post Makin ramai rakyat Israel ‘lari’ tinggalkan negara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved