Israel serang Doha, tiada rakyat Malaysia terjejas

10 Sep 2025 • 9:16 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KUALA LUMPUR: Kedutaan Malaysia mengesahkan tiada rakyat Malaysia terkesan dalam serangan Israel terhadap pejabat pemimpin Hamas di Doha.

Bagaimanapun pejabat kedutaan menasihatkan semua rakyat Malaysia di Qatar untuk terus berjaga-jaga dan menjauhi kawasan kejadian.

"Kementerian Luar Negeri Qatar mengesahkan kejadian letupan yang berlaku adalah serangan rejim Israel ke atas pejabat pemimpin Hamas di kawasan Legtaifiya, Doha.

"Rakyat Malaysia juga dinasihatkan untuk sentiasa mengikuti perkembangan semasa melalui sumber sahih yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Qatar.

"Kerajaan Qatar juga memberi jaminan bahawa keadaan kini adalah terkawal sepenuhnya dan ruang udara Qatar tidak akan ditutup," kata Kedutaan Malaysia di Doha menerusi kenyataan.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi kedutaan melalui e-mel mwdoha@kin.gov.my atau talian +974 4483 6463 (waktu pejabat) dan +974 3374 6733 (selepas waktu pejabat).

Media melaporkan, Israel melancarkan serangan terhadap kepimpinan Hamas di Qatar semalam, sekali gus memperluas tindakan ketenteraan rejim itu di seluruh Asia Barat hingga ke negara Teluk yang lama menjadi pangkalan politik kumpulan berkenaan.