
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Sejak semalam (9 September) dunia telah dikejutkan dengan laporan berita Israel melancarkan serangan didakwa terhadap pemimpin kanan Hamas di Doha, Qatar.
Menurut stesen televisyen Al Jazeera yang memetik sumber Hamas, serangan di ibu negara Qatar itu juga berkaitan perundingan gencatan senjata Gaza, lapor Sinar Harian.
Saksi Reuters melaporkan terdapat beberapa letupan yang kuat kedengaran di kawasan ibu kota Doha dan asap hitam tebal menjulang berdekatan stesen minya Legtifya.
Qatar kecam Israel sebagai tindakan ‘pengecut’
Ekoran daripada serangan itu, kerajaan Qatar mengecam tindakan Israel sebagai ‘pengecut’ dan menyifatkan ia pencabulan secara jelas terhadap undang-undang antarabangsa.
Selain itu, Qatar juga menegaskan serangan daripada Israel itu menjejaskan peranan mereka sebagai pengantara rundingan damai antara Israel serta Hamas.
Hamas turut memaklumkan serangan itu telah mengorbankan seramai enam orang, ia termasuk seorang anggota pasukan keselamatan Qatar. Namun pasukan pimpinannya terselamat.
Media Israel melaporkan serangan itu melibatkan 15 jet pejuang yang melepaskan 10 peluru pada satu sasaran.
Menurut CNN pula, sumber pegawai kanan Israel berkata antara yang menjadi sasaran ialah Khalil Al-Haya yang dikenali sebagai Ketua Perunding Hamas.
Trump dedah keputusan serangan di Qatar adalah keputusan Netanyahu
Susulan daripada serangan tersebut Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan serangan Israel terhadap Hamas di Qatar ‘tidak memajukan Israel mahupun matlamat Amerika.’
Malah dia berasa ‘sangat tidak selesa’ mengenai lokasi serangan tersebut, lapor BBC.
Di dalam siaran Truth Social pada Selasa lalu (9 September) Trump mengatakan dia dimaklumkan berhubung Israel sedang menyerang Hamas di Doha oleh tentera AS, namun ‘malangnya, sudah terlambat untuk menghentikan mengenai serangan itu.’
“Ini adalah keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ia bukan keputusan yang dibuat oleh saya,” jelasnya.
Netanyahu mengatakan dia membenarkan serangan itu dan ‘tiada imuniti’ kepada pemimpin Hamas.
Trump beri teguran kepada Netanyahu
Dalam kenyataan dikeluarkan Trump pada Selasa, dia turut memberi teguran kepada Netanyahu.
“Pengeboman secara unilateral di dalam Qatar, sebuah negara berdaulat dan sekutu rapat Amerika Syarikat yang bekerja keras dan berani mengambil risiko bersamanya untuk menjadi perantara keamanan, tidak memajukan Israel atau matlamat Amerika,” katanya.
Trump turut menyifatkan dia ‘tidak gembira dengan perkara yang berlaku’ dan memberitahu wartawan dia ‘tidak teruja dengan keseluruhan situasi tersebut.’
Memetik Berita Harian, Trump mengarahkan Utusan Khas AS, Steve Witkoff memaklumkan kepada Qatar namun maklumat berkenaan dibuat ‘terlalu lewat’ untuk menghentikannya (serangan di Qatar).
Qatar nafi dakwaan White House Trump beri amaran mengenai serangan tersebut
Pun begitu, kerajaan Qatar menafikan dakwaan White House bahawa Trump telah memberikan amaran awal kepada Doha sebelum serangan Israel terhadap Hamas di Qatar.
Menurut Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Dr Majed Al-Ansari kenyataan AS mengenai pemberitahuan awal adalah ‘tidak benar sama sekali.’
Ujarnya panggilan daripada pegawai AS diterima sewaktu letupan disebabkan serangan udara Israel telah berlaku di kawasan kediaman Doha, lapor Astro Awani.
Kenyataan balas tersebut muncul selepas jurucakap White House, Karoline Leavitt mendakwa bahawa Trump sudah mengarahkan Steve Witkoff untuk memaklumkan kepada pihak Qatar berhubung serangan terbabit.
Recent attack on doha by israel….If still the world says that islam is a problem, then I am against the world….#DOHA #qatar. pic.twitter.com/utalg9arnj
— Faraz Rabbani (@Al_quds___) September 9, 2025
Malaysia kecam serangan Israel di Qatar
Malaysia turut mengecam tindakan serangan yang Israel di Doha, Qatar.
Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tindakan ganas berkenaan secara jelas melanggar kedaulatan Qatar serta merupakan pencabulan serius kepada undang-undang antarabangsa.
Serangan itu tidak hanya mengancam nyawa orang awal bahkan turut menjejaskan kestabilan rantau yang ketika ini sedang dalam keadaan rapuh.
“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Doha. Tindakan ini merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan Qatar dan pencabulan undang-undang antarabangsa.
“Ia secara cuai membahayakan nyawa orang awam, menyerang jantung sebuah ibu negara berdaulat, serta mengancam kestabilan rantau yang sememangnya rapuh,” ujarnya, lapor Sinar Harian.
Anwar dalam masa sama turut menegaskan dengan menyasarkan Qatar memainkan peranan yang penting sebagai negara mediator serta penggerak dialog di Timur Tengah, Israel dalam menunjukkan sikap tidak menghormati usaha kepada keamanan.
“Serangan sebegini tidak boleh dipertahankan dan sama sekali tidak boleh diterima.”
Tambahnya, Malaysia berdiri teguh bersama Qatar dalam berdepan dengan situasi ini serta menggesa komuniti antarabangsa agar mengambil tindakan segera.
“Malaysia menggesa komuniti antarabangsa untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas tindakan agresif yang keterlaluan ini,” ujarnya.
Tiada rakyat Malaysia yang terjejas
Dalam pada itu, Kedutaan Malaysia di Doha turut mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terkesan dalam serangan itu.
Namun semua rakyat Malaysia yang berada di Qatar dinasihatkan untuk sentiasa berjaga-jaga serta menjauhi kawasan berkenaan.
“Kementerian Luar Negeri Qatar mengesahkan kejadian letupan yang berlaku adalah serangan rejim Israel ke atas pejabat pemimpin Hamas di kawasan Legtaifiya, Doha.
“Rakyat Malaysia juga dinasihatkan untuk sentiasa mengikuti perkembangan semasa melalui sumber sahih yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Qatar.
“Kerajaan Qatar juga memberi jaminan bahawa keadaan kini adalah terkawal sepenuhnya dan ruang udara Qatar tidak akan ditutup,” jelasnya, lapor Harian Metro.
Source:



