
GAZA: Dua kakitangan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) terbunuh selepas sebuah klinik kendalian badan bantuan perubatan itu di Gaza diserang tentera Israel pada Sabtu, sekali gus mencetuskan kecaman terhadap tindakan berkenaan.
Tentera Israel mendakwa kedua-dua lelaki yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di klinik itu adalah anggota Hamas dan mengenal pasti mereka sebagai komander unit artileri kumpulan itu, Moaz Yousef Alitsbach serta Ahmed Sufyan Muhammad Ali Abu.
MSF dalam kenyataannya menyatakan kesedihan atas kehilangan dua kakitangan berkenaan, selain menyifatkan kejadian itu sebagai serangan langsung terhadap organisasinya.
Menurut badan bantuan itu, premis berkenaan jelas ditandakan dengan logo MSF dan lokasi kemudahan tersebut sudah dimaklumkan kepada serta diketahui oleh tentera Israel.
Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus turut mengecam serangan itu dan menyifatkan tindakan menyasarkan kemudahan kesihatan, petugas perubatan serta kakitangan kemanusiaan di Gaza sebagai keterlaluan dan tidak boleh diterima.
Bagaimanapun, tentera Israel menafikan pihaknya menyasarkan hospital atau merosakkan sebarang infrastruktur perubatan.
Sebaliknya, tentera Israel mendakwa kejadian itu membuktikan kumpulan Hamas terus menyusup masuk ke dalam organisasi antarabangsa.- AGENSI
The post Israel serang klinik MSF, dua kakitangan terbunuh appeared first on Utusan Malaysia.




