Isteri baru habis pantang ‘kantoi’ curang

30 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Isteri baru habis pantang ‘kantoi’ curang

“RUMAH tangga kami kelihatan sempurna dari luaran, saya dan isteri juga mempunyai kerjaya yang bagus sehingga digelarkan ‘couple goals’.

“Tetapi hakikatnya saya menjeruk rasa dengan perangai isteri ketika itu yang sebenarnya masih lagi tidak boleh melepaskan tabiat lamanya sebelum kahwin iaitu bermadu kasih dengan ramai lelaki.

“Sehinggalah suatu hari saya tidak mampu lagi menahan sabar dan ceraikannya dengan talak satu apabila terbongkar kelakuan tidak senonoh dia tidur bersama seorang lelaki yang juga suami orang di sebuah hotel,” cerita Azman (bukan nama sebenar) memulakan bicara kepada K-Wanita.

Menurut Azman, sebelum berkahwin dengan bekas isterinya itu, rakan-rakan sudah menasihatinya supaya fikir masak-masak kerana tahu dengan perangai wanita itu yang mempunyai ramai kekasih.

“Kami berdua berkenalan ketika bekerja di satu syarikat yang sama suatu ketika dahulu dan selepas itu masing-masing berpindah ke syarikat yang lebih besar dengan gaji lebih lumayan.

“Saya sudah lama menaruh hati dengannya kerana bekas isteri saya itu seorang yang sangat cantik sehinggakan ramai cuba memikatnya tetapi selepas berhenti kerja kami terputus hubungan.

“Suatu hari kami ditakdirkan berjumpa semula pada majlis perkahwinan rakan lama yang sama-sama kerja di syarikat sama suatu ketika dahulu. Sejak itu hubungan kami rapat dan akhirnya memutuskan untuk berkahwin,” kata bapa kepada seorang cahaya mata perempuan itu.

Tambahnya, hasrat berkahwin dengan wanita itu diceritakan kepada rakan-rakan yang juga mengenali bekas isterinya itu dan mereka bagai tidak memberi sokongan.

Namun, Azman merasakan tidak wajar untuk memandang masa lalu seseorang dan wanita itu berhak diberi peluang kedua untuk memperbaiki hidupnya.

Azman memberitahu, pada awal perkahwinan semuanya baik sahaja dan tidak ada perkara mencurigakan tetapi masuk tahun kedua perkahwinan, bekas isterinya mula balik lewat serta sering memberi alasan ada kerja luar.

“Saya cuba juga bertanya kepada rakan-rakan kerjanya di pejabat tetapi masing-masing tidak mahu bercerita hal sebenar.Walaupun tak sedap hati tetapi saya tetap berfikir positif dan jalani hidup bersama tanpa menunjukkan emosi marah atau curiga.

“Dalam keadaan berserabut itu tiba-tiba isteri mengkhabarkan yang dia mengandung, maka tumpuan diberikan sepenuhnya oleh saya bagi menjaganya dan bayi dalam kandungan,” ujarnya.

Azman berkata, kemuncak perkara ini apabila suatu hari dia menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali dan memberitahu keberadaan isterinya itu di sebuah hotel.

“Nombor tersebut rupa-rupanya adalah milik isteri kepada teman lelaki bini saya.

“Hancur hati saya apabila ke hotel tersebut dan nampak mereka berduaan di dalam bilik. Ketika itu bekas isteri saya baru habis pantang.

“Akal manusia saya tak mampu berfikir bagaimana seorang ibu yang baru habis pantang sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu.

“Rasa hendak pecah dada ini apabila saya turut membaca perbualan lucah mereka di WhatsApp,” tutur jejaka berasal dri Kuala Lumpur itu.

Setelah mendapatkan pandangan keluarga dan ustaz, Azman memutuskan untuk menceraikan wanita itu dengan talak satu.

Atas nasihat ramai, Azman juga melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi memastikan bayi itu anak kandungnya.

“Syukur ujian DNA mengesahkan bayi itu anak saya dan saya juga diberi hak untuk menjaganya.

“Sebagai seorang ayah, saya mahu membesarkannya dengan penuh kasih sayang dan mendidiknya menjadi wanita yang mulia,” katanya.

The post Isteri baru habis pantang ‘kantoi’ curang appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved