
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah meminda draf syarat-syarat Perintah Pengampunan Bersyarat bagi Datuk Seri Najib Razak dengan menukar perkataan “isteri” kepada “isteri-isteri” berhubung senarai ahli keluarga yang dibenarkan tinggal bersama bekas perdana menteri itu sepanjang tempoh tahanan rumah.
Pendedahan mengejutkan itu terkandung dalam Fasal 1.12(i) minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang bersidang di Istana Negara pada 18 September lalu.
Berdasarkan draf asal (Lampiran 1), Perenggan 2.3 menetapkan bahawa Najib tidak dibenarkan tinggal bersama individu lain di alamat tahanan rumah di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta kecuali ahli keluarganya iaitu “isteri, anak, menantu dan cucu” tanpa kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Komisioner Jeneral Penjara.
Bagaimanapun, dalam draf akhir yang diperkenankan (Lampiran 2), klausa Perenggan 2.3 dipinda secara rasmi kepada “isteri-isteri, anak, menantu dan cucu”, sekali gus memberi bayangan kepada status perkahwinan bekas perdana menteri itu yang sebelum ini hanya diketahui umum mempunyai seorang isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Selain pindaan tersebut, Fasal 1.12(ii) turut merekodkan keputusan baginda memotong pengecualian dalam Perenggan 5.4 draf syarat-syarat berkenaan.
Dalam draf asal, Najib dilarang mengadakan atau melibatkan diri dalam sebarang acara atau majlis keramaian termasuk di alamat tahanan rumah “kecuali dengan kebenaran secara bertulis terlebih dahulu daripada Komisioner Jeneral Penjara”.
Dengan pemotongan frasa pengecualian itu dalam Lampiran 2, larangan ke atas Najib daripada mengadakan atau menyertai sebarang majlis keramaian di mana-mana tempat termasuk kediamannya kini berkuat kuasa secara mutlak tanpa ruang untuk memohon kebenaran khas. - 18 November, 2026
The post ‘Isteri’ dipinda jadi ‘isteri-isteri’: Titah Agong dalam syarat tahanan rumah Najib curi tumpuan appeared first on Scoop.






