Peguam Negara, Hannah Yeoh bantah tahanan rumah Najib, menurut minit mesyuarat Lembaga Pengampunan

LocalPolitics
18 Nov 2026 • 4:02 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Peguam Negara, Hannah Yeoh bantah tahanan rumah Najib, menurut minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Image from: Peguam Negara, Hannah Yeoh bantah tahanan rumah Najib, menurut minit mesyuarat Lembaga Pengampunan hamden18/11/2026 - 16:02 Kredit gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR 18 Nov - Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh membantah pelaksanaan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, menurut minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang telah dinyahklasifikasikan.

 

Bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua berkongsi beberapa halaman minit mesyuarat berkenaan di Facebook, yang merekodkan pendirian ahli-ahli lembaga dalam mesyuarat itu.

 

Minit mesyuarat itu menunjukkan Dusuki berpendirian Najib perlu kekal menjalani hukuman penjara sehingga 2028, selaras dengan pendirian beliau dalam mesyuarat terdahulu.

 

Dusuki berpandangan tahanan rumah tidak diperuntukkan di bawah undang-undang dan bukan sebahagian daripada sistem perundangan negara, seperti yang pernah diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke.

 

Beliau turut berpandangan keputusan berhubung perkara itu akan memberi kesan kepada kerajaan, khususnya dari segi kestabilan politik, ekonomi, pelaburan dan imej negara di peringkat antarabangsa.

 

Tiada ulasan tentang draf Perintah Pengampunan Bersyarat

Menurut minit itu, Hannah Yeoh menyatakan pendiriannya sama seperti Dusuki dan konsisten dengan pandangan beliau dalam mesyuarat terdahulu.

 

Kedua-duanya juga tidak memberikan sebarang ulasan terhadap draf Perintah Pengampunan Bersyarat serta cadangan syarat-syaratnya kerana tidak bersetuju dengan pengampunan bersyarat berkenaan.

 

Bagaimanapun, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bersetuju dengan syarat-syarat berkenaan tanpa sebarang ulasan.

 

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-64 yang berlangsung di Istana Negara.

 

Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

 

Salah satu syarat pengampunan itu ialah pembayaran denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

 

Pada 6 November lalu, Najib menjelaskan bayaran denda berkenaan di Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi.

 

Pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan menerusi mesyuarat kali ke-61 memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

 

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan RM42 juta milik SRC International.

 

Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman itu pada Disember 2021, sebelum keputusan berkenaan turut dikekalkan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan terakhir Najib pada 23 Ogos 2022. Najib mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang pada hari sama.

 

Pada 10 November 2026, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur, berkuat kuasa serta-merta.

 

Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mengetepikan perintah pelepasan yang dikeluarkan Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi pada 6 November susulan pembayaran denda RM50 juta oleh Najib. - BERNAMA

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved