Isteri kanser, suami strok lupakan impian miliki zuriat

LocalHealth & Fitness
10 Oct 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Isteri kanser, suami strok lupakan impian miliki zuriat

PETALING JAYA – Sepasang suami isteri reda melupakan impian untuk memiliki zuriat sendiri selepas mereka diuji dengan penyakit strok dan kanser.

Pada mulanya, ujian itu dilalui oleh Zamelia Shafina Zainal, 37, apabila dia disahkan menghidap kanser endometrial tahap satu pada Jun 2024, disusuli pula suaminya, Ahmad Rifat Saleh, 37, diserang strok beberapa bulan selepas itu.

Berkongsi kisahnya, Zamelia Shafina yang menetap di Ku­ching, Sarawak berkata, dia menghidap Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) berkait gangguan hormon dan pada April 2024.

“Pada sambutan Aidilfitri, saya mengalami pendarahan, hari dan overflow (banyak sangat). Saya anggap ia haid biasa. Kemudian pada 20 Mei 2024, saya ke klinik sebelum dimaklumkan supaya bertemu pakar.

“Doktor buat imbasan dan maklumkan saya mengandung. Namun, sayangnya keguguran. Saya tak tahu nak cakap macam mana sebab 10 tahun tak me­ngandung,” katanya kepada Kos­mo! baru-baru ini.

Zamelia memaklumkan, hasil imbasan dijalankan menunjukkan kantung janin pada rahim sudah kering, namun terdapat sel tidak normal hasil ujian makmal.

Katanya, dia seterusnya me­lakukan pemeriksaan pengimejan resonans magnetik (MRI) di hospital swasta serta disahkan mengidap kanser endometrial tahap satu.

“Saya bawa keputusan itu kembali ke Hospital Umum Sarawak dan doktor cakap, ia masih peringkat awal. Jadi saya ambil keputusan untuk rawatan perubatan, tidak boleh kemote­rapi kerana masih di peringkat awal dan ikut nasihat doktor.

“Bagaimanapun, ada kesan sebenarnya selepas makan ubat tersebut. Rambut mula gugur dan saya rasa panas kerana dos ubat tinggi. Saya bincang dengan suami, saya tak tahan. Suami lihat bermacam kesengsaraan saya alami,” katanya.

Ceritanya, dia turut mengalami perubahan emosi yang teruk selain berat badan bertambah sekali gus mula memikirkan untuk melakukan pembedahan bagi membuang rahim.

“Memang teruklah, memang macam bukan saya. Saya bincang dengan doktor dan dia bertanya sama ada mahu berhenti rawatan perubatan. Saya bincang dengan suami dan kami buat keputusan untuk buang rahim,” katanya.

Zamelia Shafina berkata, pembedahan tersebut dijadualkan pada Disember 2024 dan dalam masa sama, dia ditawarkan oleh suaminya untuk menunaikan ibadah umrah bersama ibu bapa.

Bagaimanapun katanya, segalanya berubah ketika berada di Madinah iaitu seminggu sebelum pulang ke tanah air apabila dia menerima mesej pelik daripada suami yang berada di Kuching dan apabila dihubungi, kedengaran suara Ahmad Rifat seperti sedang menahan kesakitan.

“Saya terus hubungi jiran-jiran di kawasan rumah dan nasib baik ketika itu, pagar tidak berkunci.

“Mereka bawa (suami) ke hospital dan doktor memaklumkan, salur darah telah pecah dan Alhamdulillah suami dapat dise­lamatkan. Ketika itu juga dia masih sedar,” katanya.

Zamelia Shafina berkata, suaminya perlu menjalani pembedahan pemasangan stent di bahagian kepala dan sepanjang dimasukkan ke wad, sebanyak empat pembedahan telah dijalani oleh Ahmad Rifat termasuk dua di bahagian kepala, perut dan jantung.

Wanita itu berkata, dia ber­syukur dengan keadaan kesihatan suaminya yang memperlihatkan perubahan positif dan kini sudah pulang ke rumah namun tetap meneruskan rawatan di hospital serta fisioterapi dan rawatan alternatif lain.

“Kita dah kahwin lama dan dalam tempoh 10 tahun itu, macam-macam mulut orang mengguris hati, memalukan sampai menjatuhkan. Tapi bagi saya dan suami, memanglah siapa tak nak zuriat, namun asalkan kami sihat itu saja,” katanya.

The post Isteri kanser, suami strok lupakan impian miliki zuriat appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved