Isteri percaya suami akan balik

2 Sep 2026 • 9:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Isteri percaya suami akan balik

DUNGUN – Seorang wanita tetap setia menunggu suaminya yang hilang ketika turun ke laut sejak Khamis lalu pulang walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan oleh pihak berkuasa semalam.

Amira Syahida Mat Hassan, 30, berkata, dia pasrah dengan keputusan itu, namun dia dan tiga lagi anak tidak berputus asa serta bergantung harap suami­nya, Sabrie Rusli, 32, akan pulang juga suatu hari nanti.

Bagaimanapun, dia yang sedang sarat mengandung anak keempat amat berharap agar pihak berkuasa meneruskan pencarian suaminya.

“Namun apakan daya operasi SAR tidak menemukan sebarang petunjuk. Suami mungkin ha­nyut bersama bot sebab kalau bot pecah, tiada serpihan ditemui sepanjang lima hari SAR,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Sabrie dilaporkan hilang selepas bot gentian kaca dinaikinya terbalik dipukul ribut pada pukul 5 petang di perairan Pulau Tenggol di sini sejak Khamis lalu.

Sabrie yang keluar ke laut bersendirian sempat menghubungi Amira Syahida untuk meminta pertolongan sebelum dipercayai terjatuh ke dalam laut.

Menurut Amira Syahida, semua pihak berusaha sedaya upaya termasuk mengadakan solat hajat.

“Biarpun operasi SAR rasmi telah ditamatkan, ahli keluarga saya telah berjanji tetap mencari suami saya dengan bantuan rakan-rakan nelayan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, pencarian Sabrie ditamatkan selepas tiada sebarang petunjuk atau penemuan berjaya dikesan sepanjang lima hari pencarian dilakukan.

Menurutnya, operasi penca­rian bapa kepada tiga orang anak itu telah dilakukan meliputi kawasan seluas 1,483.86 kilometer.

“Operasi pencarian telah dilaksanakan secara sistematik dengan mengambil kira keadaan cuaca, laut, arus serta kemungkinan mangsa hanyut,” katanya.

The post Isteri percaya suami akan balik appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved