
DUNGUN – Luluh hati seorang ibu apabila setiap hari anak bongsunya bertanya bapanya yang hilang di perairan Pulau Tenggol, dekat sini sejak Khamis lalu.
Amira Syahida Mat Hassan, 30, berkata, anaknya, Putra Yusof Amin Sabrie, 6, menyangka bapanya, Sabrie Rusli, 32, hanya keluar ke laut seperti biasa dan akan pulang ke rumah selepas menangkap ikan.
“Setiap pagi, dia menangis mencari abi (Sabrie). Dia tanya, bila abi nak balik dan kenapa abi lama sangat di laut. Dia juga menangis kerana rindukan abinya.
“Dia tak faham apa yang berlaku, ingat abi belum selesai menangkap ikan,” katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Kuala Dungun, di sini, hari ini.
Dalam kejadian Khamis lalu, Sabrie dipercayai hilang selepas bot gentian kaca dinaikinya terbalik dipukul ribut pada pukul 5 petang. Sabrie yang keluar ke laut bersendirian sempat menghubungi Amira Syahida untuk meminta pertolongan sebelum dipercayai terjatuh ke dalam laut.
Amira Syahida berkata, dia hanya mampu memujuk dan meminta anaknya terus berdoa agar bapanya segera ditemui.
Ibu kepada tiga anak yang kini sedang sarat hamil lapan bulan berkata, dua lagi anaknya, Putri Azzahra,12, dan Putri Ayumi,10, memahami insiden menimpa bapa mereka. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Kenapa Abi tak balik lagi?’ appeared first on Kosmo Digital.



