
KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang berdepan masalah penglihatan akibat glaukoma tetap meneruskan rutin hariannya membuka pintu untuk suaminya setiap kali lelaki itu keluar bekerja.
Kisah tersebut dikongsikan suaminya, Hafidz menerusi akaun TikTok @apizhulk, apabila memaparkan isterinya bergerak menggunakan tongkat di dalam rumah sebelum membantunya membuka pintu.
Menurut Hafidz, perkara itu sudah menjadi rutin harian isterinya setiap kali dia mahu keluar bekerja.
Malah, isterinya tetap mahu melakukan perkara tersebut sendiri walaupun penglihatannya tidak lagi seperti dahulu.
Tetap Mahu Lakukan Sendiri
Dalam ruangan komen, Hafidz menjelaskan bahawa sebelum mengalami glaukoma, isterinya masih boleh melihat.
Namun selepas berdepan penyakit berkenaan, keadaan penglihatannya berubah sehingga menyebabkan dia memerlukan tongkat untuk bergerak dan perlu lebih berhati-hati ketika berada di dalam rumah.
Hafidz berkata, isterinya sebenarnya mahu melakukan perkara itu sendiri dan tidak mahu terlalu bergantung kepadanya.
“Rutin harian dia bila saya nak keluar kerja, dia akan tolong bukakan pintu untuk saya. Saya nak bukak sendiri pun dia tak bagi,” katanya menerusi kapsyen video tersebut.
Perkongsian itu kemudian mendapat perhatian pengguna TikTok yang melihat tindakan berkenaan sebagai satu bentuk kasih sayang dan rasa tanggungjawab dalam rumah tangga.
Doa Netizen Buat Pasangan Ini
Seorang pengguna turut menyifatkan perkara tersebut sebagai lebih daripada sekadar hak dan tanggungjawab antara suami isteri, sebaliknya menggambarkan kasih sayang yang membuatkan seseorang sanggup terus melakukan sesuatu untuk pasangannya.
Komen itu dibalas Hafidz dengan ringkas, “Betul 2 bang…”
Dalam satu lagi komen, seorang pengguna mendoakan agar segala pengorbanan Hafidz terhadap isterinya mendapat balasan yang baik.
“Di hadapan pintu syurga nanti, dia jugalah yang bukakan pintu untuk abang masuk,” tulis pengguna berkenaan.
Hafidz kemudian mengakui tersentuh membaca komen tersebut.
“Allah… sedih saya bila baca komen ni,” balasnya.
Dalam perkongsian sama, Hafidz turut menjelaskan bahawa kunci rumah sentiasa berada bersamanya sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Rutin kecil itu mungkin kelihatan biasa, namun bagi pasangan tersebut, ia menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka selepas penglihatan isterinya mula terjejas.
Walaupun tidak lagi mampu melihat seperti dahulu, dia tetap mahu memainkan peranannya sebagai isteri dan melakukan perkara yang selama ini menjadi rutin mereka.
Perkongsian Hafidz itu secara tidak langsung memperlihatkan bagaimana pasangan suami isteri menyesuaikan kehidupan mereka dengan keadaan baharu, sambil terus saling membantu dalam perkara-perkara kecil setiap hari. – The Malaysian Update
The post Isteri Tak Lagi Mampu Melihat Seperti Dahulu, Namun Tetap Bukakan Pintu Buat Suami appeared first on The Malaysian Update.
