
GURUN: Nasib lima sekeluarga yang tular di media sosial baru-baru ini selepas ibu bapa yang menjadi tulang belakang keluarga itu diuji dengan masalah kesihatan, mendapat perhatian Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Politiknya Kamil Munim berkata ketua keluarga terbabit Arman Othman, 49, menghidap penyakit angin ahmar manakala isterinya Mazliana Jamaluddin, 39, pula diuji dengan ketumbuhan di kepala dan kini terlantar.
“Dalam sesi lawatan kerja saya ke Kedah hari ini, selain dua keluarga lain, saya turut menziarahi keluarga puan Mazliana dan menyampaikan sumbangan daripada Perdana Menteri melalui ICU (Pejabat Pembangunan Persekutuan) peringkat negeri.
“Saya turut dimaklumkan beliau menerima bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Bagaimanapun kita akan lihat bentuk bantuan lain yang boleh disalurkan bagi membantu keluarga ini,“ katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Ziarah MADANI di rumah keluarga berkenaan di Taman Ria Mesra II dekat sini, petang semalam.
Hadir sama pada program hari ini ialah Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufik Johari.
Kamil berkata kehidupan pasangan itu lebih sukar kerana anak sulung mereka daripada tiga beradik merupakan orang kurang upaya (OKU) sejak kecil, namun menurutnya pemimpin dan masyarakat setempat sentiasa memberikan perhatian terhadap keluarga itu.
Sementara itu, Mohammed Taufik berkata pejabat Parlimen Sungai Petani akan bekerjasama dengan agensi berkaitan khususnya ICU bagi memantau keluarga terbabit.
“Anak-anak pasangan ini kesemuanya masih bersekolah dan sudah pasti kos persekolahan juga perlu dibantu. Begitu juga dengan keperluan harian, lampin pakai buang, susu untuk pesakit terlantar dan sebagainya. Saya akan buat pemantauan secara bulanan keatas keperluan keluarga ini,“ katanya.
Sementara itu, kedua-dua pasangan terbabit menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas sumbangan serta bantuan Perdana Menteri dan semua pihak yang terlibat.
Arman berkata beliau amat terkejut apabila dimaklumkan wakil Perdana Menteri berhasrat menziarahi mereka sekeluarga dan menyampaikan sumbangan hari ini.
“Saya rasa terharu, gembira dan berterima kasih atas keprihatinan dan sumbangan yang diberikan,“ katanya.
Bernama dimaklumkan bahawa Mazliana kini tinggal di rumah adik bongsunya, Norlela Jamaluddin, 30, yang terletak tidak jauh daripada rumahnya, bagi memudahkan anggota keluarga yang lain menguruskannya.
Norlela berkata abang iparnya masih tinggal di rumah mereka sendiri bersama anak sulung mereka, Aiman Irfan, 20, manakala Mazliana serta dua lagi anaknya, Aiman Ikhwan, 15, dan Aina Najwa, 10, tinggal bersamanya.
“Aiman Ikhwan yang banyak membantu menguruskan ibunya khususnya selepas pembedahan kedua pada 21 Dis lepas. Saya bekerja kilang dan akan turut sama membantu menjaga kakak bersama adik-beradik yang lain secara bergilir,“ katanya.
Nasib yang menimpa keluarga ini mendapat perhatian ramai apabila kisah Aiman Ikhwan menguruskan ibunya yang terlantar termasuk mengelap badan, menukar lampin pakai buang serta memastikan ibunya minum susu formula khas tujuh kali sehari menjadi tular di media sosial baru-baru ini. - Bernama

