Istiadat menzahirkan Undang Luak Rembau ke-22 Sabtu ini

25 Jun 2026 • 7:22 PM MYT
Twentytwo13
Twentytwo13

Twentytwo13 brings you insights on issues that matter to the people.

Istiadat menzahirkan Undang Luak Rembau ke-22 Sabtu ini

KUALA PILAH: Institusi adat dan perlembagaan Negeri Sembilan terus mencuri tumpuan apabila Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan mengadakan majlis Istiadat Menghadap Menjunjung Duli Bagi Menyempurnakan Penzahiran Kejadian Undang Luak Rembau ke-22 di Istana Besar Seri Menanti, di sini, Sabtu ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz selepas menerima menghadap Dato’-Dato’ Adat Luak Rembau dalam satu majlis istiadat di Istana Besar Seri Menanti, hari ini.

“Saya difahamkan pemilihan penyandang Pesaka Dato’ Undang Luak Rembau telah dilaksanakan mengikut adat yang terpakai dan diamalkan dalam Luak Rembau,” titah Tunku Ali.

“Sehubungan itu, saya ingin menyampaikan titah perkenan ayahanda saya, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang berkenan mengadakan Istiadat Mengadap Menjunjung Duli bagi menyempurnakan kejadian Undang Luak Rembau pada Sabtu ini, jam 2 petang di Istana Besar Seri Menanti.

“Saya doakan segala urusan istiadat berjalan lancar,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Pengerusi Kerapatan Buapak Delapan Kampung Waris Biduanda Nan Dua Carak, Dato’ Juan Datuk Zulkipli Shamsudin berkata, kerapatan Buapak dan Ibu Soko di Luak Rembau telah sebulat suara memilih pesara guru, Hassan Ab Hamid, 67, sebagai Undang Luak Rembau ke-22.

Beliau berkata, penzahiran Hassan dibuat berpandukan keputusan pihak Dato’ Adat Rembau melalui Buapak Delapan Kampung yang telah mengadakan istiadat kerapatan sebanyak dua kali. Katanya, kedua-dua kerapatan itu telah memilih Kampung Tanjong sebagai ‘benih’ calon Undang Luak Rembau ke-22.

“Melalui muafakat itu, kami telah memilih Haji Hassan Ab Hamid sebagai Undang Luak Rembau ke-22,” katanya kepada media selepas majlis menghadap Tunku Ali Redhauddin di Istana Besar Seri Menanti, hari ini.

Hadir bersama beliau ialah dua Dato’ Lembaga dan lima Buapak Delapan Kampung Waris Biduanda Nan Dua Carak.

Istiadat berkenaan merupakan antara proses penting dalam tradisi pemerintahan Adat Perpatih di Negeri Sembilan sebelum bakal Undang Luak dizahirkan secara rasmi sebagai Undang Luak Rembau yang baharu.

Mengulas mengenai sesi menghadap hari ini, Zulkipli menjelaskan ia bertujuan untuk memohon perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan melalui anakanda baginda bagi mengadakan majlis menjunjung kasih.

“Menerusi sesi menghadap hari ini, Tuanku Yang di-Pertuan Besar telah mempersetujui majlis berkenaan diadakan pada Sabtu ini, 27 Jun 2026, jam 2 petang di istana yang mulia ini,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai situasi pelantikan berkenaan, beliau menegaskan beberapa laporan media sebelum ini telah menggambarkan seolah-olah Tuanku memulakan, memilih, atau melantik sendiri seorang Undang Luak Rembau.

Menurutnya, gambaran terbabit adalah tidak tepat, malah memberikan kefahaman yang salah terhadap aturan adat serta perlembagaan Negeri Sembilan. Beliau mengingatkan bahawa menurut Adat Perpatih, inisiatif tersebut tidak bermula daripada pihak istana, sebaliknya terbit daripada luak itu sendiri.

“Istiadat menghadap baru-baru ini adalah keadaan di mana badan-badan adat luak datang ke istana, bukannya pihak istana mencampuri urusan luak.

“Seorang Undang tidak dilantik oleh Yang di-Pertuan Besar. Beliau dipilih di dalam luaknya sendiri oleh badan-badan adat luak iaitu Lembaga, waris, dan pada akarnya iaitu Ibu Soko, menerusi proses adat yang telah ditetapkan.

“Peranan DYMM Yang di-Pertuan Besar pula adalah menerima pihak luak apabila wakil-wakilnya datang menghadap. Pada waktu yang sesuai dan apabila adat menuntutnya, baginda akan memperkenankan serta mengiktiraf apa yang telah diputuskan oleh luak itu sendiri,” katanya.

Zulkipli menegaskan kehadiran badan-badan adat luak ke istana adalah mengikut adat bagi memohon perkenan penetapan tarikh sesuatu istiadat.

“Inisiatif tersebut adalah milik luak. DYMM Tuanku tidak memanggil, tidak memilih, dan tidak melantik mana-mana pihak atas kehendak baginda sendiri. Sebarang kenyataan yang menggambarkan sebaliknya merupakan salah faham terhadap adat yang telah mengatur Negeri Sembilan sejak berkurun lamanya.

“Inilah perjalanan biasa Adat Perpatih, di mana kuasa adat terbit daripada akar masyarakat dan Yang di-Pertuan Besar berperanan sebagai pemegang amanah serta pemberi perkenan, bukan sebagai pihak yang mewujudkannya. Keprihatinan Duli Yang Maha Mulia selama ini hanyalah terhadap keutuhan Adat Perpatih dan institusi Negeri Sembilan,” katanya.

Tegas beliau lagi, pihak istana juga tidak akan mengulas mengenai perkara yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved