Isu 3R: UMNO Junjung Titah Tengku Hassanal – Ahmad Zahid

LocalPolitics
21 Aug 2024 • 6:08 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) menjunjung titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang murka dan terkilan berikutan isu kontroversi 3R (kaum, raja, agama).

Menurut laporan Buletin TV3, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyentuh isu sensitif itu disifatkan sebagai satu keceluparan.

image is not available

Foto: Facebook Barisan Nasional

“Saya amat menghormati kenyataan Tengku Mahkota Pahang, tentunya ia merupakan sesuatu yang harus dilihat sebagai kesan daripada keceluparan yang telah membangkitkan isu berkenaan.

“Mungkin ‘orang itu’ tidak menerima hakikat titah pembentukan Kerajaan Perpaduan itu dengan niat Tuanku bagi menyatupadukan semua parti-parti gabungan agar tidak berlaku lagi ketidakstabilan dalam politik tanah air,” katanya.

image is not available

Foto: Kosmo!

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Pertandingan Akhir Pidato Piala Datuk Nurul Amal menjelang Persidangan Agung UMNO (PAU) 2024 di Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Muhyiddin seharusnya tahu kesan daripada ucapan yang dibuat ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini.

Beliau juga menyifatkan tindakan bekas Perdana Menteri itu sebagai tidak bertatasusila terhadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Ke-16.

image is not available

Foto: Facebook Kesultanan Pahang

Terdahulu, Tengku Hassanal menzahirkan rasa murka dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang dikatakan secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Al-Sultan Abdullah semasa baginda masih dalam jawatan itu.

Sumber: Buletin TV (Syafiqah Damanhuri)