
KUALA LUMPUR: Pelakon, Fasha Sandha memaklumkan isu membabitkan seorang rakan artis yang didakwa datang lewat ke lokasi penggambaran sebelum ini sudah diselesaikan secara baik selepas individu berkenaan tampil memohon maaf.
Menurut Fasha, dia memilih untuk tidak mendedahkan identiti artis tersebut kerana enggan memanjangkan perkara yang sudah selesai, selain mahu menjaga hubungan sesama rakan industri.
“Sejujurnya, isu artis datang lewat itu sudah selesai. Kami sudah berdamai, dia sudah meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perkara sama lagi.
“Saya mengambil pendekatan untuk tidak mendedahkan siapa individu tersebut kerana kami sama-sama selebriti. Dia juga sudah meminta maaf, jadi bagi saya perkara itu tidak perlu dipanjangkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Fasha berkata demikian ketika ditemui pada sesi media interview bersama pelakon drama Doa Yang Terlindung Musim 2, kelmarin.
Dalam masa sama, Fasha berharap tegurannya sebelum ini dapat dijadikan pengajaran kepada semua pihak agar lebih menghormati masa dan komitmen orang lain, khususnya ketika bekerja.
“Saya cuma berharap perkara ini menjadi pengajaran bukan sahaja kepada individu terbabit, tetapi juga kepada diri saya sendiri dan orang lain supaya lebih menghormati masa.
“Selepas isu itu timbul, saya lihat beberapa artis turut bersuara mengenai perkara sama. Mungkin ini satu permulaan dan ada hikmahnya supaya mereka yang kurang menepati waktu belajar untuk lebih menghormati masa orang lain,” jelasnya.
Bagaimanapun, ditanya sama ada pernah berdepan situasi sama membabitkan pelakon senior atau nama besar dalam industri, Fasha enggan mengulas lanjut.
“Tiada komen. Saya tidak mahu menyebut nama sesiapa,” katanya ringkas.
Sebelum ini, Fasha mencuri perhatian apabila meluahkan rasa kurang senang terhadap sikap individu yang tidak menghormati waktu bekerja menerusi perkongsian di media sosial.
The post Isu artis datang lewat itu sudah selesai, kami sudah berdamai – Fasha Sandha appeared first on Utusan Malaysia.





