KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengalih tumpuan strategi promosi pelancongan ke negara Asia yang tidak terjejas dengan konflik peperangan.
Ketua Setiausahanya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, pendekatan itu dilaksanakan bagi memastikan momentum sektor pelancongan negara terus berkembang meskipun berdepan ketidaktentuan situasi di Asia Barat.
Menurutnya, antara pasaran baharu yang kini diberi fokus merangkumi Korea Selatan, Jepun, China serta negara-negara ASEAN yang mempunyai potensi besar menyumbang kepada peningkatan kehadiran pelancong ke Malaysia.
"Situasi di Asia Barat menyebabkan berlaku pembatalan beberapa jadual penerbangan melibatkan negara yang terjejas konflik, sekali gus memberi impak kepada sektor pelancongan negara.
"Selain itu, kenaikan harga diesel turut memberi kesan kepada operasi pengangkutan pelancongan, termasuk pengurangan jadual feri di beberapa destinasi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Membina dan Menaik Taraf Kampung Budaya Terengganu di sini pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Mohd Ariffin Tengku A. Rahman.
Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata, kerajaan kini giat mengadakan perbincangan bersama kerajaan negeri serta Kementerian Kewangan bagi mencari mekanisme terbaik dalam membantu pemain industri yang terkesan.
Jelas beliau, antara cadangan yang dipertimbangkan termasuk pemberian subsidi bersasar bagi mengurangkan beban kos operasi, khususnya melibatkan pengangkutan pelancongan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, MOTAC akan terus memperkasakan Langkawi sebagai hab pelancongan antarabangsa dengan menarik lebih banyak penerbangan terus dari luar negara.
Jelas beliau, langkah penyusunan semula strategi promosi ini dilihat sebagai pendekatan pragmatik dalam memastikan sektor pelancongan negara kekal berdaya tahan meskipun berdepan cabaran luaran yang tidak menentu.
"Usaha sedang digerakkan untuk menjadikan Langkawi sebagai destinasi pilihan pelancong antarabangsa, termasuk membuka laluan penerbangan terus dari negara seperti Poland ke pulau itu," ujarnya.

