RM31.26 juta bangunkan 76 projek pelancongan di Terengganu

LocalTravel
5 May 2026 • 4:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RM31.26 juta bangunkan 76 projek pelancongan di Terengganu
Shaharuddin (tengah) ketika meninjau aktiviti yang dijalankan sempena Majlis Penyerahan Projek Membina dan Menaik Taraf Kampung Budaya Terengganu pada Selasa.

​KUALA TERENGGANU - Kerajaan Persekutuan meluluskan sebanyak 76 projek pelancongan di Terengganu dengan peruntukan berjumlah RM31.26 juta sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

​Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam merancakkan industri pelancongan selain menjadi pemangkin pembangunan infrastruktur dan pemeliharaan warisan budaya.

​Menurutnya, antara projek utama yang diberi penekanan adalah pembinaan dan naik taraf Kampung Budaya Terengganu yang menelan kos RM5.5 juta.

​"Projek berkenaan diluluskan di bawah Peruntukan Mengurus Khas Kementerian Kewangan Malaysia (Covid-19) pada tahun 2021.

​"Pembangunan Kampung Budaya Terengganu bukan sekadar aspek fizikal, malah membawa peranan besar dalam memastikan kelangsungan warisan budaya untuk generasi akan datang," katanya.

​Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Membina dan Menaik Taraf Kampung Budaya Terengganu di sini pada Selasa.

​Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Mohd Ariffin Tengku A Rahman.

​Mengulas lanjut, Shaharuddin memaklumkan Terengganu terus menerima suntikan pembangunan bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) apabila sembilan lagi projek diluluskan hingga April 2026.

​Jelas beliau, nilai keseluruhan bagi projek di bawah RMK13 tersebut berjumlah RM22.85 juta.

​"Antara projek berimpak tinggi yang diluluskan termasuklah menaik taraf kemudahan di Taman Negeri Pulau Bidong serta pembinaan jeti pelancongan awam ke Pulau Tenggol di Dungun.

​"Selain itu, ia turut melibatkan kerja-kerja menaik taraf fasiliti di Hulu Kekabu, Setiu serta penambahbaikan papan tanda dan laluan di Taman Tamadun Islam (TTI)," ujarnya.

​​Dalam pada itu, beliau berkata, aspek penyelenggaraan diberi perhatian serius oleh pihak berkaitan bagi memastikan semua kemudahan yang dibangunkan kekal berkualiti.

​Katanya, penyelenggaraan yang konsisten amat penting bagi menjamin keselesaan pelancong selain mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan baharu setiap tahun.

​"Langkah strategik ini diharapkan dapat memperluas produk pelancongan negeri merangkumi sektor ekopelancongan, pelancongan pulau dan warisan, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat," katanya.