Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan siasatan kes seorang pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera seorang penuntut senior telah dimulakan.
Beliau berkata kertas siasatan dibuka selepas mangsa berusia 20 tahun itu membuat laporan kira-kira 8.23 malam tadi dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Siasatan mendapati mangsa diminta untuk menggosok baju sebelum ditekap dengan seterika dalam kejadian yang berlaku pada 22 Oktober, 11.45 malam di bilik asrama UPNM
“Pada hari kejadian, pelajar senior yang juga pegawai kadet tahun empat meminta mangsa untuk menggosok baju kerja miliknya.
“Secara tiba-tiba, pelajar senior berusia 22 tahun itu mengambil seterika dipegang pengadu sebelum menekap di bahagian dada sebelah kanan (mangsa) sebanyak satu kali,” katanya.
Berikutan insiden itu, mangsa mengalami kecederaan melecur dan menyebabkan pengadu terkejut dan menjerit. Ketika kejadian, terdapat beberapa orang senior turut berada di bilik berkenaan.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada PDRM untuk menyiasat kes buli babit seorang pegawai kadet di UPNM.
Beliau menegaskan, budaya buli di universiti perlu dihentikan kerana ia menyebabkan penganiayaan kepada mangsa.
Dalam pada itu, Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman memaklumkan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dengan kejadian itu.
Sumber: Harian Metro
The post Isu buli UPNM, senior minta gosok baju sebelum tekap mangsa dengan seterika di dada appeared first on The Reporter.


