IPOH – Kegiatan pengambilan air secara tidak sah oleh pekebun durian di sekitar Sauk, Kuala Kangsar dikenal pasti punca bekalan air kepada penduduk setempat terjejas baru-baru ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, hasil siasatan Lembaga Pengurusan Sumber Air (LPSA) mendapati seramai 34 pekebun durian bertindak menyedut air terus daripada sumber takungan berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) Sauk.
Menurutnya, tindakan itu menyebabkan paras air di takungan berkenaan menurun sehingga tidak mencukupi untuk disedut oleh pihak LRA, sekali gus menjejaskan bekalan air ke beberapa kawasan termasuk Sauk, Kati, Changkat Jambu, Changkat Duku, Biong dan Chenderoh.
"Siasatan mendapati terdapat penanam durian yang mengambil air sendiri daripada takungan tersebut sehingga menyebabkan bekalan tidak mencukupi untuk operasi LRA.
"Keadaan ini menjadi punca utama gangguan bekalan air yang dilaporkan penduduk sejak Ramadan lalu,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan gimik Penyerahan Buku Rujukan Tambahan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Program Cikgu Saarani Tahun 2026 di Foyer Pejabat Menteri Besar Perak di sini pada Isnin.
Saarani berkata, susulan itu kerajaan negeri telah mengarahkan LPSA dan Lembaga Air Perak (LAP) mengambil tindakan segera termasuk menanggalkan paip yang digunakan untuk menyedut air secara tidak sah.
"Tindakan ini perlu kerana perbuatan tersebut jelas menyalahi undang-undang di bawah peruntukan berkaitan pengurusan sumber air.
"Jika dibiarkan, jumlah individu yang melakukan perbuatan ini mungkin akan bertambah dan keadaan bekalan air akan menjadi lebih kritikal,” katanya.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, pekebun yang memerlukan bekalan air untuk tanaman masih boleh mendapatkannya melalui saluran sah yang disediakan oleh LAP bukannya mengambil terus daripada sumber air mentah.
Katanya, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap kesalahan terbabit namun mengakui terdapat kesukaran untuk mengenal pasti pemilik paip yang digunakan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa pekebun durian terbabit adalah pengusaha sah kerana menanam di tanah milik sendiri, namun kesalahan timbul apabila mereka mengambil air daripada sumber yang tidak dibenarkan.



