LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan bahawa kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC tidak melanggar sebarang peraturan berhubung pendaftaran empat pemain warisan mereka sebagai pemain tempatan.
MFL dalam satu kenyataan memaklumkan, pendaftaran tiga pemain JDT iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel serta pemain Kuching City, Gabriel Palmero sah dan mengikut ketetapan Peraturan Pertandingan Liga Malaysia (Liga-M) 2025-2026.
Menurut badan pengelola liga itu, status kelulusan tersebut merujuk kepada Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026, di bawah Peraturan Pertandingan, Artikel 3 yang membabitkan Sistem Pendaftaran Dan Perpindahan Pegawai Dan Pemain.
"Berdasarkan perenggan 3.3 Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak FAM MYPAS (FIFA Connect), Perkara C mengenai Pemain Tempatan dan Asing, kelab diwajibkan untuk mengemukakan salinan kad pengenalan berwarna atau salinan pasport berwarna.
"Perkara ini turut dijelaskan secara terperinci menerusi surat pekeliling kepada semua kelab Liga-M bertarikh 12 Jun 2025, yang mana pada perkara 8.2 menyatakan keperluan dokumen-dokumen yang wajib dikemas kini dan dimuat naik dalam format PDF untuk proses kelulusan," jelas kenyataan itu.
Menurut MFL, keempat-empat pemain tersebut telah melalui proses pendaftaran yang mematuhi peraturan pertandingan menggunakan kad pengenalan sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Justeru, MFL menegaskan tiada sebarang salah laku atau pelanggaran peraturan dilakukan oleh pihak JDT mahupun Kuching City FC dalam mendaftarkan Figueiredo, Irazabal, Hevel dan Palmero pada musim ini.
Bagaimanapun, kelulusan pendaftaran itu tidak mengecualikan pemain terbabit daripada hukuman disiplin di peringkat antarabangsa.
"Keempat-empat pemain berkenaan masih perlu menjalani hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada sebarang perlawanan rasmi, sepertimana keputusan yang telah ditetapkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) baru-baru ini," jelas MFL.

