
PUTRAJAYA – Kebimbangan terhadap keselamatan data pengguna yang diproses ke Israel serta kekangan bidang kuasa perundangan menjadi asas keputusan kerajaan untuk melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan maklum balas Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) yang dimaklumkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN).
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, JKSN merupakan jawatankuasa yang meneliti aspek berkaitan keselamatan siber, termasuk isu yang dibangkitkan berhubung penggunaan aplikasi berkenaan.
“Dan perkara yang telah dimaklumkan turut melibatkan pengumpulan data, pemprosesan data yang berkait aplikasi tersebut yang dibawa ke negara Israel. Itu isu besar yang telah dibangkitkan.
“Dan kedua, sebarang pertikaian perundangan hanya akan diuruskan melalui mahkamah di Israel. Bermaksud sekiranya ada apa-apa yang berbangkit, kita tidak boleh pergi ke situ kerana Malaysia tidak mengiktiraf, tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel. Itu dua isu utama,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas dakwaan kebocoran data pengguna, Fahmi berkata, pihak Waze perlu memberikan penjelasan mengenai bagaimana maklumat peribadi rakyat Malaysia boleh diperoleh pihak tidak bertanggungjawab sebelum dijual menerusi laman sesawang gelap atau dark web.
“Ya, ini antara sebab kenapa kita perlu berhati-hati dengan maklumat yang kita serahkan kepada mana-mana pihak. Dan ini perlu dijelaskan oleh pihak Waze.
“Kita tidak pasti bagaimana maklumat data peribadi rakyat Malaysia boleh diambil sedemikian rupa dan kemudiannya berlaku satu data leak, ketirisan data, dan ada pihak yang tidak bertanggungjawab yang memperoleh keuntungan daripada jualan di dalam dark web,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan tidak dapat mengesahkan sama ada data rakyat Malaysia terbabit dalam dakwaan kebocoran berkenaan.
Beliau berkata, Jabatan Perlindungan Data Peribadi di bawah Kementerian Digital juga akan dirujuk berhubung sebarang aspek siasatan yang mungkin perlu dilakukan, tertakluk kepada proses perundangan.
Ditanya sama ada kerajaan akan menyekat penggunaan Waze melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau Kementerian Komunikasi, Fahmi berkata, tindakan lanjut bergantung kepada proses mendapatkan cabutan minit mesyuarat JKSN dan arahan berkaitan.
“Memandangkan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara telah membuat keputusan, kita perlukan cabutan minit daripada mesyuarat tersebut untuk tindakan lanjut. Jadi kita tunggu proses itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Isu data ke Israel, bidang kuasa mahkamah punca larangan Waze appeared first on Kosmo Online.






