Larangan Waze Bergantung Pada Alternatif, Penilaian Keselamatan Data - PM

LocalPolitics
23 Oct 2026 • 7:27 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Larangan Waze Bergantung Pada Alternatif, Penilaian Keselamatan Data - PM

AMPANG - Ketersediaan aplikasi navigasi alternatif yang boleh dipercayai serta penilaian menyeluruh terhadap keselamatan data akan menentukan sama ada kerajaan meneruskan larangan penggunaan Waze di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan meneliti aplikasi navigasi alternatif sebelum membuat keputusan sama ada sekatan penggunaan Waze diperluaskan melangkaui arahan semasa yang melibatkan penjawat awam.

Beliau berkata, kebimbangannya tertumpu kepada ibu pejabat Waze yang terletak di Israel serta terma penggunaan aplikasi itu yang didakwa meletakkan urusan berkaitan pengguna di bawah undang-undang negara berkenaan.

“Apabila saya menerima maklumat itu, kita membuat penelitian. Pertama, Waze beribu pejabat di Israel.

“Kedua, di bawah perjanjiannya, hanya undang-undang Israel terpakai bagi pengawalseliaan terma pengguna Waze, tanpa undang-undang negara lain terpakai,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Anwar berkata, kebimbangan itu mendorong beliau mengambil tindakan segera, sambil mendakwa aplikasi berkenaan memindahkan maklumat pengguna ke Israel secara automatik.

Beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal kedaulatan negara dan keselamatan.

Kerajaan sebelum ini mengesyorkan penggunaan aplikasi navigasi yang dibangunkan secara tempatan sebagai alternatif kepada Waze.

Bagaimanapun, Anwar berkata, sebarang keputusan untuk melaksanakan larangan lebih meluas hanya akan dipertimbangkan selepas kerajaan menjalankan penilaian menyeluruh terhadap pilihan aplikasi pengganti yang tersedia.

Setakat ini, tiada larangan penggunaan Waze di seluruh negara disahkan. - Getaran, 23 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved