
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada minggu lalu, kecoh di media sosial pandangan seorang mahasiswa dari Universiti Malaya (UM) mengenai kutipan derma bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Perkara itu lantang disuarakan oleh pelajar terbabit ketika bertanyakan soalan dalam sesi dialog bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Khairy Jamaluddin di Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa 2026 (iFUTURE 2026) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Kenyataan itu nyata mendapat perhatian sehingga mengundang pelbagai reaksi dari sesetengah pihak.
Baca Artikel Berkaitan: Pelajar Sifatkan Derma Orang Ramai Untuk Najib ‘Perkara B*doh’ Di Hadapan KJ & Onn Hafiz Undang Perhatian [Video]
Mahasiswa Pertahan Pandangan, Turut Tegas Tak Akan Mohon Maaf
Semalam (19 Oktober), pelajar UM yang dikenali sebagai Ummi Umairah Bakhit mempertahankan pandangannya yang menyifatkan tindakan menderma wang hasil titik peluh kepada golongan elit adalah perbuatan bodoh dan tidak bermoral.
Malah, Ummi turut menegaskan bahawa dia tidak akan membuat permohonan maaf ekoran kenyataan yang dikemukakan olehnya dalam program iFUTURE 2026 itu.
“Saya tetap mempertahankan soalan yang dikemukakan dan tidak akan memohon maaf.
“Ini kerana menderma wang hasil titik peluh sendiri kepada golongan elit sememangnya, ya, merupakan perbuatan yang paling bodoh dan paling tidak bermoral.
“Saya berharap lebih ramai orang mendapat keberanian untuk bersuara mengenai rasuah dan integriti tanpa rasa takut,” katanya.
Perkara itu disuarakan oleh Ummi dalam satu hantaran di Instagram miliknya.
Mahasiswa Tegas Pandangan Tak Berubah, Konsisten Suarakan Pendirian Tentang Rasuah
Tegas Ummi, pandangannya terhadap isu terbabit kekal tidak berubah malah berpegang teguh kepada prinsip integriti, kesaksamaan dan keadilan serta turut menentang rasuah.
“Saya tidak pernah memilih isu untuk diperjuangkan. Saya hadir dalam demonstrasi (bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri) Azam Baki.
“Saya juga pernah bersuara mengenai ketidaksamaan peluang di universiti saya. Sejak hari pertama, saya konsisten menyuarakan pendirian saya,” katanya.
Mahasiswa Kecewa Dengan Reaksi Sesetengah Pihak, Sifatkan Perbuatan Sebagai Bodoh Bukan Suatu Kesalahan
Pada masa sama, Ummi turut menyuarakan rasa kecewa dengan reaksi sesetengah pihak yang disifatkannya sebagai buli siber, obsesi politik serta mentaliti feudal.
“Menyifatkan sesuatu perbuatan sebagai bodoh bukanlah suatu kesalahan di sisi undang-undang.
“Ia merupakan ungkapan tegas untuk menggambarkan sesuatu perbuatan yang sukar dipercayai atau tidak masuk akal.
“Pemikiran kritis semakin terhakis. Orang ramai membaca, tetapi tidak berfikir, membuat penyelidikan atau memahami perkara yang dibaca. Konteks diputarbelitkan.
“Menyifatkan sesuatu perbuatan sebagai bodoh tidak sama dengan memanggil seseorang itu bodoh,” ujarnya.
View this post on Instagram
Tindakan Berani Mahasiswa Tolak Rasuah Adalah Manifestasi Suara Golongan Muda
Pandangan Ummi yang berani bersuara mengenai tindakan menderma kepada tabung buat Najib sebelum ini turut mendapat sokongan daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Jelas Nga, kenyataan Ummi dalam sesi dialog tersebut adalah sebagai satu manisfestasi suara golongan muda yang menolak rasuah dan ia wajar disokong.
“Saya nak puji mahasiswa kita. Ini suara rakyat, suara mahasiswa, suara generasi muda kita dan kita patut sokong.
“Saya juga menyambut baik keputusan pihak UM yang tidak akan menghukum mahasiswa tersebut, yang berjaya membawa suara rakyat apabila berkata perkara paling bodoh yang dia pernah lihat ialah apabila ada yang sudi derma kepada penyakau,” katanya yang dipetik daripada Utusan Malaysia.
Mahasiswa Perlu Diberi Ruang Untuk Bersuara
Malah, Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad berpendapat mahasiswa terbabit tidak seharusnya dibuli hanya kerana menyuarakan pandangan mereka.
Sebaliknya, golongan tersebut perlu diberi ruang untuk bersuara mengemukakan pandangan dan kritikan asalkan ia tidak melampaui batas dan menjaga adab.
“Anak-anak muda berhak untuk menyatakan pendirian mereka bahawa ‘menderma’ kepada seseorang penyakau dan perasuah itu suatu perbuatan yang ‘bodoh’.
“Jika ada dalam kalangan orang politik atau ‘ulamak-ulamak jahat’ yang mahu bersimpati dengan penyakau, silakan tetapi jangan buli anak-anak muda dan mahasiswa seperti Ummi Umairah ini,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: “Ramai Masih Ambil Berat & Tampil Membantu” – Rosmah Zahir Rasa Syukur, Banyak Pihak Sumbang Untuk Tabung Solidariti Najib
Baca Artikel Berkaitan: “Ini Soal Mengenang Budi & Membalas Jasa” – Usahawan Tau Fu Fah Sumbang RM10,000 Ke Tabung Solidariti Najib






