
KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengecam tindakan membuli dan mengugut mahasiswa Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit, susulan pandangan yang disuarakan dalam satu forum.
Beliau menggesa semua mangsa buli siber membuat laporan segera kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Katanya, tindakan mengherdik dan mengugut mahasiswa termasuk mengancaman untuk mencari wanita itu di universiti tidak mencerminkan adab dalam berkomunikasi dan tidak sepatutnya berlaku hanya kerana perbezaan pandangan.
“Kita boleh berbeza pandangan, tidak jadi masalah. Dalam kes adik Ummi, beliau menyuarakan pandangan dan kita tahu mahasiswa mempunyai hak untuk bersuara.
“Maka, kita perlu raikan kerana ia tidak melanggar apa-apa undang-undang, malah tidak bersifat jenayah. Beliau hanya menegur perkara berkaitan rasuah,” katanya selepas menghadiri Program Smart Parents Interactive Hub di sini hari ini.
Fahmi berkata, walaupun terdapat pihak yang mungkin tidak bersetuju dengan nada atau cara mahasiswa tersebut menyampaikan pandangan, perkara yang lebih penting adalah intipati yang diketengahkan.
Jelasnya, pandangan itu mencerminkan hasrat untuk melihat Malaysia sebagai negara yang menyokong usaha membanteras kleptokrasi, selain menolak perbuatan menyamun, merompak dan rasuah.
Dalam forum terbuka bersama pemimpin UMNO baru-baru ini, Ummi Umairah mempersoalkan tindakan orang ramai menderma untuk membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membayar denda berjumlah RM50 juta.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, MCMC sedang menyiasat beberapa insiden tingkah laku tidak autentik terancang (CIB) yang menyasarkan Sultan Ibrahim dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Lebih 2,000 kandungan yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) atau bersifat jelik dan 600 akaun palsu dikenal pasti menghina Seri Paduka Baginda.
Bagi kes yang menyasarkan Tuanku Muhriz, katanya, sejumlah akaun palsu dipercayai diwujudkan sebulan lalu dengan sesetengah akaun tidak atau hanya mempunyai seorang pengikut sekali gus menimbulkan syak ia diwujudkan bagi tujuan tertentu.– Bernama
The post Fahmi kecam pembuli mahasiswa UM, gesa buat laporan appeared first on Kosmo Online.






