Isu diesel: Siapa benar, siapa bohong? – Kadir Jasin

LocalPolitics
12 Apr 2026 • 11:53 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Isu diesel: Siapa benar, siapa bohong? – Kadir Jasin
Kenyataan Kadir di Facebook berhubung dakwaan pengeksportan lebih 52 juta liter diesel ke Filipina.

SHAH ALAM - Kerajaan digesa telus berhubung dakwaan pengeksportan lebih 52 juta liter diesel ke Filipina ketika rakyat sedang bergelut dengan lonjakan harga bahan api yang mendadak.

Tokoh Wartawan Negara, Datuk Abdul Kadir Jasin berkata, perkara tersebut dibangkitkan susulan penularan imej bertajuk 'Dumating Na' (Sudah Tiba) mendakwa Filipina menerima bekalan diesel dari Malaysia.

"Petroleum Nasional Bhd (Petronas) menafikan terlibat, manakala Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengesahkan hantaran itu bukan dari Malaysia.

"Jadi yang mana satu benar dan mana satu palsu? Siapa bercakap benar dan siapa berbohong?," soal beliau menerusi kenyataan di Facebook pada Ahad.

Media Filipina pada Sabtu melaporkan sebanyak 329,000 tong atau kira-kira 52 juta liter diesel dari Malaysia dihantar ke negara jiran tersebut.

Menurut laporan itu, penghantaran tersebut sebahagian daripada usaha kerajaan Filipina memperkukuh bekalan domestik, susulan penghantaran 142,000 tong atau 22.578 juta liter dari Jepun pada 26 Mac.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bekalan bahan bakar negara adalah mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei depan.

Bagaimanapun, percanggahan laporan antara media luar dengan penafian agensi tempatan menyebabkan timbulnya spekulasi mengenai status sebenar simpanan petroleum negara.

Mengulas lanjut, Kadir berkata, harga diesel tanpa subsidi telah melonjak sebanyak 121.05 peratus iaitu daripada RM3.04 seliter kepada RM6.72 seliter dalam tempoh kurang dua bulan.

"Petrol RON97 pula naik 69.84 peratus kepada RM5.35, manakala RON95 tanpa subsidi naik 64.86 peratus kepada RM4.27.

"Sekiranya syarikat minyak tempatan terus mengeksport bahan bakar terutamanya diesel, sampai bila-bila pun simpanan dalam negara tidak akan bertambah," tegasnya.

Tambahnya, jika Malaysia mempunyai lebihan bekalan minyak mentah hasil hubungan baik dengan negara pengeluar seperti Iran, kerajaan harus berterus-terang.

"Cakap sajalah. Baik juga kita ambil alih peranan Singapura sebagai pusat penapisan dan pengeksport petroleum serantau. Lagipun Singapura ini nampak macam lebih intim dengan Israel daripada Iran.

"Adalah lebih baik Kerajaan Madani 'memadanikan' dahulu rakyat jelata yang kesusahan daripada membuat duit dengan menjual bahan bakar kepada negara jiran," dakwanya lagi.

Beliau turut mendesak agar harga runcit tempatan diturunkan memandangkan harga minyak mentah dunia sudah mula menunjukkan trend penurunan ketara hingga 15 peratus di pasaran Amerika Syarikat.