
KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, percaya ahli perniagaan kontroversi Victor Chin memiliki bukti kukuh berhubung dakwaan pembayaran RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen PKR.
Dalam video ringkas di YouTube malam tadi, Ahli Parlimen Pandan itu memberi gambaran bahawa Chin mungkin telah merakam perbualan dengan wakil rakyat berkenaan.
"Apabila orang yang dipercayai oleh ahli parlimen PKR itu mengutip wang tersebut bagi pihaknya, ada kemungkinan terdapat bukti dalam bentuk gambar atau rakaman video.
Jika tidak, Chin tidak akan berani mengeluarkan ultimatum (kata dua) sedemikian," kata Rafizi.
Ultimatum 30 Mac
Rafizi berkata keberanian Chin memberi kata dua sehingga 30 Mac menunjukkan kemungkinan besar bukti wujud.
"Kemungkinan itu ialah pertama Chin mungkin menamakan ahli parlimen tersebut pada 30 Mac, atau kedua ia menjadi penantian yang sia-sia apabila wang yang dituntut itu sudah dikembalikan," katanya.
Ramanan nafi, Rafizi balas
Kenyataan Rafizi hadir selepas Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan, menafikan dirinya adalah Ahli Parlimen yang dimaksudkan Chin.
Ramanan, yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh, menegaskan beliau tidak pernah bertemu dengan ahli perniagaan yang kini menjadi tumpuan skandal "mafia korporat".
Mengulas sidang media Ramanan semalam, Rafizi berpendapat bekas Bendahari Agung MIC itu lebih banyak menyerangnya berbanding menjawab dakwaan Chin.
"Sidang media itu berlangsung kira-kira 25 minit, 10 minit adalah mengenai Chin, dan selebihnya adalah mengenai Ramanan yang mempersendakan saya," katanya.
Ramanan pula menuduh Rafizi menggunakan laskar siber untuk menyebarkan dakwaan tersebut, kononnya bagi memecah-belahkan PKR.
Misteri "Mr R"
Sementara itu, Rafizi berjanji akan mendedahkan identiti “Mr R”, individu yang didakwa bertindak sebagai orang tengah bagi pihak mafia korporat.
Beliau menegaskan ramai keliru apabila menganggap "Mr R" dan ahli parlimen PKR yang didakwa menerima wang daripada Chin adalah orang yang sama.
"Sedangkan, ia melibatkan dua individu yang berbeza," katanya.
Dakwaan ‘mafia korporat’
Pada Selasa, Chin mendakwa seorang pengarah syarikat bertindak sebagai orang tengah bagi kumpulan mafia korporat.
Chin berkata beliau dan rakan-rakannya menghadapi ancaman serta intimidasi, termasuk tuntutan berulang untuk menyerahkan saham syarikatnya berikutan arahan daripada Mr R dan rangkaian mafia korporat.
Selain itu, Chin mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta RM10 juta daripadanya – dengan RM9.5 juta dilaporkan telah dibayar – untuk menyelesaikan isu tersebut. - 26 Mac, 2026
The post Victor Chin mungkin ada bukti kukuh skandal RM9.5 juta: Rafizi appeared first on Scoop.
