Isu Dokumentasi : FAM Sahkan Setiausaha Agung Digantung Tugas Serta-Merta

LocalPolitics
17 Oct 2025 • 4:24 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman digantung tugas serta-merta susulan siasatan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung status tujuh pemain kacukan Harimau Malaya.

Menurut laporan Harian Metro, Perkara itu disahkan Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundram menerusi satu sidang media khas di Wisma FAM yang memaklumkan penggantungan tersebut berkuat kuasa hari ini.

Setiausaha Agung digantung tugas

image is not available

“Berhubung kes FIFA, Setiausaha Agung FAM digantung berkuat kuasa hari ini,” katanya.

Difahamkan, keputusan menggantung tugas Datuk Noor Azman Rahman dibuat selepas FAM menerima maklumat rasmi daripada badan bola sepak antarabangsa mengenai kemungkinan wujud pelanggaran terhadap peraturan dokumentasi pemain.

Siasatan yang kini turut mendapat perhatian FIFA itu mendorong FAM mengambil langkah segera bagi memastikan proses siasatan dijalankan secara telus dan bebas daripada sebarang pengaruh dalaman.

Sebelum ini, FIFA mengenakan tindakan terhadap FAM dan tujuh pemain kacukan Harimau Malaya selepas beberapa dokumen didapati menimbulkan kekeliruan, sekali gus memerlukan penjelasan lanjut mengenai kesahihan status pemain terbabit.

Setiausaha Agung digantung tugas

image is not available

Menerusi laporan rasmi bertajuk Notification of the Grounds of the Decision bertarikh 6 Oktober 2025, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan bahawa hukuman itu dibuat susulan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang berkait isu pemalsuan serta pengubahan dokumen rasmi.

FIFA mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (RM10,000) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Untuk rekod, Noor Azman dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM pada September 2022 menggantikan Mohd Saifuddin Abu Bakar.

Sumber: Harian Metro (Syazwan Msar)