Isu gambar e-LMM berlainan: Tiada unsur salah guna sistem, curi identiti

14 Mar 2024 • 10:26 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Foto hiasan

PUTRAJAYA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan tiada unsur penyalahgunaan sistem atau kecurian identiti dalam isu paparan gambar pemilik Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) yang berlainan dengan maklumat pemilik sebenar.

JPJ dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara berkenaan berlaku ketika pasukan teknologi maklumat melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sistem yang dibuat secara berkala bagi memastikan kelestarian sistem MyJPJ.

"Pihak JPJ mengambil maklum dan memohon maaf berhubung isu paparan gambar pemilik e-LMM yang berlainan dengan maklumat pemilik sebenar. Jabatan ini ingin memaklumkan bahawa perkara ini telah diambil tindakan pembetulan dan penambahbaikan serta-merta,” menurut kenyataan itu.

JPJ memberi jaminan bahawa tiada sebarang unsur penyalahgunaan sistem mahupun kecurian identiti maklumat pemegang lesen memandu sebaliknya segala maklumat adalah terpelihara dan selamat.

"JPJ akan sentiasa menambah baik sistem dari semasa ke semasa bagi memantapkan penyampaian perkhidmatan digital yang terbaik kepada rakyat,” menurutnya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28