Isu GISBH: Mufti Perlis Terima Ugutan, Suspek Kini Diburu Polis

LocalPolitics
24 Sep 2024 • 9:53 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Pada Jumaat (20 September) yang lalu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis telah memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Tegas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, ajaran yang dibawa oleh GISBH merupakan kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat sebelum ini.

Beliau yang terkenal dengan panggilan Dr Maza turut menjelaskan model ekonomi yang diamalkan oleh GISBH bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam dan bukanlah model ekonomi sebenar.

Keputusan itu menjadikan Perlis sebagai negeri pertama yang mengisytiharkan organisasi atau syarikat berkenaan sebagai kumpulan ajaran sesat.

Dr Maza Terima Mesej Ugutan Berhubung GISBH

Namun, siapa sangka rentetan daripada kontroversi itu membuatkan Dr Maza menerima mesej berbaur ugutan daripada individu yang tidak dikenali.

Sehubungan itu, polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan mesej ugutan berkenaan yang dipercayai berkaitan dengan kes GISBH.

Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 8.56 pagi pada Sabtu (21 September) lalu ketika Dr Maza berada di pejabatnya yang terletak di Bangunan Dato Mahmud Mat, Kangar, Perlis.

Mufti Perlis itu dikatakan telah menerima beberapa mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada satu nombor yang tidak dikenali.

“Terdapat empat pesanan dihantar berkaitan GISBH bahawa perniagaan milik syarikat itu tidak dapat ditandingi dalam negara.

“Bagaimanapun, beliau (Mohd Asri) tidak mengendahkan mesej itu menyebabkan individu terbabit menghantar mesej berbaur provokasi dan ugutan.

“Beliau (Mohd Asri) percaya pesanan WhatsApp itu menunjukkan satu ugutan jenayah kerana maksud kafir harbi (kafir yang boleh diperangi) adalah menghalalkan darah,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Usaha Kesan Suspek Sedang Dijalankan

Ekoran daripada kejadian ini, Dr Maza telah membuat laporan di Balai Polis Kangar pada hari yang sama untuk tindakan lanjut.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 506 kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan ugutan jenayah.

Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Polis kini telah mempergiat usaha untuk mengesan suspek yang menghantar ugutan jenayah itu kepada mufti,” katanya.

Source: