
SEREMBAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Negeri Sembilan menerima tujuh aduan berhubung isu halal dengan satu kes membabitkan penjualan makanan ringan di sebuah pasar raya tahun ini.
Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan berkata, pihaknya bagaimanapun belum menerima maklumat mengenai aktiviti penyembelihan ayam seperti yang tular dalam media sosial.
“Pada tahun ini, kita menerima sebanyak tujuh aduan berhubung isu halal dan satu kes penjualan makanan ringan di sebuah pasar raya yang disiasat mengikut Perenggan 8(b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” katanya pada Majlis Pelancaran dan Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2026 di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Penguat Kuasa Pencegahan KPDN, Aris Mamat berkata, kementerian akan terus memperketat pemantauan terhadap penggunaan logo halal susulan isu tular ayam yang didakwa tidak disembelih mengikut hukum syarak.
“Dari segi cara penyembelihnan, pihak JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) yang tentukan. Kami menentukan logo yang dipakai. Kalau dia pakai logo palsu, bukan daripada pihak berkuasa, baru kita ambil tindakan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Isu halal: Tujuh aduan diterima di Negeri Sembilan appeared first on Kosmo Online.





