Tingkat pemantauan pusat sembelih ayam

2 Nov 2026 • 1:23 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tingkat pemantauan pusat sembelih ayam

SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan meningkatkan pemantauan ke atas semua pusat penyembelihan ayam bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian sijil halal bagi mengatasi keraguan pengguna terhadap bekalan sumber protein tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah tersebut perlu dilakukan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan agensi peguat kuasa lain terhadap pematuhan tersebut.

“Pihak pengeluar sijil (Jakim) dan pihak berkuasa perlu bekerjasama untuk buat pemantauan berkala ke atas pusat itu supaya mereka mematuhi piawaian yang ditetapkan kedua-dua agensi itu.

“(Bagaimanapun), saya juga meminta orang ramai supaya membuat aduan sekiranya mengesyaki ada pusat penyembelihan menjalankan operasi tidak mengikut piawaian halal,” katanya selepas program pemberian makanan nutrisi Nutrisi Selangor (Nutrisel) di sini, hari ini.

Pemantauan ayam

Jelasnya, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pengusaha yang didapati melanggar undang-undang atau syarat yang tertakluk kepada pengeluaran sijil halal dimiliki mereka.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 40,000 ekor ayam yang disembelih dan diproses serta dipasarkan setiap hari oleh sebuah kilang penyembelihan dan pemprosesan ayam di Kampung Sri Aman Hilir di sini, diragui status halalnya.

Keraguan itu timbul selepas serbuan dilakukan oleh pihak berkuasa yang mendapati premis tersebut menggunakan kaedah kejutan rendaman air berarus elektrik melebihi had ditetapkan pihak berwajib. Kesemua ayam itu dikenakan renjatan elektrik berkuasa 130 volt berbanding 10 volt seperti yang ditetapkan oleh JAIS.

Keadaan itu menimbulkan persoalan serius daripada segi pematuhan hukum syarak apabila proses itu dikesan menyebabkan ayam mati sebelum disembelih.

Lebih mengejutkan premis berkenaan dipercayai telah beroperasi selama 10 tahun dan memproses kira-kira 40,000 ekor ayam yang kini diragui status halalnya setiap hari.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati ayam berkenaan diproses menggunakan kaedah ‘water bath stunning’ (kaedah renjatan air berarus elektrik) yang menyebabkan haiwan itu mati terlebih dahulu sebelum disembelih. – UTUSAN

The post Tingkat pemantauan pusat sembelih ayam appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved