Kuala Lumpur: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi komitmen kerajaan untuk memberi perhatian terhadap isu-isu berbangkit di Sabah dan Sarawak, termasuk berkaitan jumlah wakil dua negeri itu di Parlimen.
Perdana Menteri berkata ia antara isu dibangkitkan pada Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikannya semalam.
Menurut catatan di Facebooknya pada Jumaat, mesyuarat itu turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, menteri-menteri kabinet serta pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak.
Ismail Sabri berkata perkara lain yang dibangkitkan pada mesyuarat itu termasuk isu berkaitan ekonomi dan kesihatan di kedua-dua negeri Borneo berkenaan.
Perdana Menteri turut memberi komitmen kerajaan terhadap pembangunan Negeri di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang itu menerusi Bajet 2023 yang akan dibentang 7 Oktober ini.
“Insya-Allah, segala isu yang berbangkit di negeri-negeri Borneo ini akan diambil perhatian selaras semangat Keluarga Malaysia,” katanya.
Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang turut hadir pada mesyuarat berkenaan dilapor berkata mesyuarat itu mengendors langkah mendapatkan semula 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.
Langkah itu bakal membolehkan Sabah dan Sarawak memiliki 78 daripada 222 kerusi.
“Namun, lebih banyak (sesi) libat urus diperlukan berkaitan isu tersebut, terutama dalam kalangan penggubal dan pengamal undang-undang yang berkhidmat di Borneo,” katanya dalam kenyataan di sini malam Khamis lepas.
Berdasarkan pengiraan terkini, 166 atau 75 peratus daripada 222 kerusi Parlimen adalah di Semenanjung Malaysia, manakala baki 25 peratus atau 56 kerusi adalah untuk negeri-negeri Borneo iaitu Sarawak (31) dan Sabah (25).
Endorsmen oleh MKMA63 itu bakal membolehkan Sabah dan Sarawak memiliki 78 daripada 222 kerusi.
Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu berkata penggubal undang-undang dari Sabah dan Sarawak telah menuntut semakan semula terhadap bilangan kerusi Parlimen untuk kedua-dua negeri itu.
Beliau berkata pada 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi, Sarawak (24) dan Singapura (15) iaitu mewakili 35 peratus daripada keseluruhan 159 kerusi Parlimen ketika itu, manakala baki 65 peratus atau 104 kerusi adalah milik Tanah Melayu.
“Tanah Melayu secara sendiri tidak mempunyai majoriti dua pertiga. Oleh sebab itu apabila Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, kerusi (Parlimen) kepunyaan Singapura sepatutnya diberikan kepada Sabah dan Sarawak untuk memenuhi perwakilan 35 peratus,” katanya dan menambah langkah pengembalian kerusi itu telah diperakui oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada 2012.
Ongkili menambah tugas utama ialah meyakinkan Suruhanjaya Pilihan Raya, namun menekankan bahawa isu itu patut diperjuangkan kerana ia selari dengan usaha pengembalian hak MA63.
MKMA63 yang dibarisi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg, menteri kanan Persekutuan dan negeri serta pegawai kanan kerajaan, turut dimaklumkan bahawa kedua-dua negeri itu akan menerima pertambahan doktor dan jururawat tidak lama lagi, selain kemudahan perubatan.
“Serta dalam pelaksanaan ialah rancangan untuk membaik pulih hospital dan klinik usang di kedua-dua negeri dan memastikan bilangan pakar yang mencukupi di semua pusat kesihatan,” menurut kenyataan itu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
