
WASHINGTON: Isu kawalan Selat Hormuz semakin bercelaru apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa Tentera Laut AS kini menguasai 100 peratus Selat Hormuz.
Dakwaan itu dikeluarkan selepas tentera AS berjaya membersihkan laluan tersebut daripada periuk api dan Trump menuntut supaya Iran membayar pampasan kerana berkonflik dengan Washington sejak bertahun-tahun lalu.
Beliau menjelaskan bahawa tuntutannya bukan sahaja meliputi kerosakan akibat perang yang berlaku 28 Februari dan masih belum berakhir, tetapi juga serangan Iran terhadap sasaran AS sejak lebih dua dekad lalu selain bayaran kepada keluarga penunjuk perasaan dibunuh oleh pihak berkuasa negara tersebut sepanjang 50 tahun lepas.
Ketika bercakap kepada wartawan di Pejabat Oval, Trump berkata pada Isnin, Tentera Laut AS kini mempunyai kawalan penuh terhadap laluan perairan penting itu.
Malah, beliau menyifatkan kehadiran tentera AS di kawasan itu sebagai ‘tembok besi’ dan berkata, tindakan Iran meletakkan periuk api dari semasa ke semasa tidak mengubah keadaan tersebut.
“Ia kini terbuka. AS merupakan satu-satunya pihak yang mengawal Selat Hormuz ketika ini. Kadangkala mereka akan meletakkan periuk api dan kami akan menemuinya,” katanya.
AS mengekalkan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran sejak pertengahan April.
Pegawai Iran pula menegaskan Selat Hormuz akan kekal ditutup sehingga AS memenuhi tuntutan Teheran, termasuk menarik balik sekatan laut, Sementara itu, perbincangan Iran dengan Oman mengenai aturan pelayaran tidak akan membawa kepada pembukaan penuh laluan berkenaan.
Dalam usaha mengembalikan tekanan kepada Iran, Trump dalam hantaran di Truth Social berkata, tuntutan Teheran supaya AS membayar pampasan atas kerosakan akibat perang memberinya idea menarik.
Beliau mencadangkan Iran pula membayar pampasan kepada AS bagi rakyat Amerika yang terbunuh atau cedera dalam serangan bom tepi jalan dan serangan lain yang dikaitkan dengan Iran, selain kepada penunjuk perasaan Iran yang menurutnya dibunuh rejim negara itu sejak 50 tahun lalu.
Tuntutan pampasan perang oleh Trump menjadi pertikaian baharu selepas Iran mengemukakan syaratnya sendiri untuk membuka semula Selat Hormuz pada Sabtu.
Laluan perairan penting itu membawa kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dunia sebelum perang tercetus.
Pada Sabtu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Mohammad Bagher Zolghadr berkata, selat itu tidak akan dibuka semula sehingga Washington menarik balik sekatan laut dan sekatan ekonominya, mengundurkan tentera AS dari rantau berkenaan, membayar pampasan perang serta tidak membekukan aset Iran.
Majlis itu turut menuntut supaya serangan AS terhadap sekutu Iran di rantau berkenaan dihentikan.
Trump memberi isyarat beliau bersedia membiarkan tekanan ekonomi yang semakin meningkat bagi menjejaskan Iran daripada melancarkan serangan ketenteraan tambahan.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Iran menolak dakwaan berkaitan tekanan ekonomi itu.
Jurucakapnya, Esmaeil Baqaei memberi respons terhadap kenyataan Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent yang mendakwa sekatan AS sedang ‘mencekik’ Iran.
Baqaei berkata, Washington memilih sekatan setiap kali usaha diplomasi gagal dan meningkatkan sekatan apabila langkah itu tidak berkesan.
Menurutnya, corak itu kini tidak lagi boleh dianggap sebagai dasar, sebaliknya sudah menjadi seperti ‘ketagihan kompulsif’.
Kebuntuan itu menyebabkan Washington menganggap kehadiran tenteranya di laut sebagai langkah kekal untuk menjamin akses melalui selat berkenaan. Bagaimanapun, Teheran menganggap kehadiran tentera AS sebagai halangan utama kepada pemulihan laluan perdagangan seperti biasa.
Harga minyak meningkat pada Isnin susulan kenyataan keras daripada kedua-dua pihak, sekali gus membalikkan penurunan harga yang berlaku pada minggu lalu.
Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) bagi penghantaran September meningkat kira-kira lima peratus untuk ditutup pada sekitar AS$82.13 (RM336) setong. Minyak mentah Brent turut naik pada kepada kira-kira AS$87.72 (RM358.95) setong.
Harga minyak kemudian meningkat sedikit dalam dagangan Asia pada Selasa.
The post Isu kawalan Selat Hormuz makin bercelaru appeared first on Utusan Malaysia.


