Isu Kematian Anjing Rocky: “Saya Tidak Hadir Malam Itu Dengan Niat Untuk Mencederakan, Jauh Sekali Untuk Membunuh” – Shah [Video]

13 Aug 2026 • 4:00 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Isu Kematian Anjing Rocky: “Saya Tidak Hadir Malam Itu Dengan Niat Untuk Mencederakan, Jauh Sekali Untuk Membunuh” – Shah [Video]

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kematian anjing bernama Rocky ketika dalam operasi tangkapan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pelabuhan Klang pada 29 Julai nyata mendapat perhatian ramai.

Malah sebelum ini, wanita yang didakwa merupakan pemilik Rocky, Rohini Devi dalam satu sidang akhbar pada 5 Ogos lalu berharap agar siasatan berhubung isu tersebut dapat dijalankan secara telus agar punca sebenar kejadian dapat dirungkai serta keadilan diberi kepada keluarganya.

Pemuda Dikaitkan Dengan Kematian Rocky Tampil Bersuara, Dakwa Hidup Kini Dalam Tekanan

Terbaharu, lelaki yang dikaitkan dengan kematian Rocky tampil menceritakan kisah sebenar dari sisinya.

Pemuda yang dikenali sebagai Shah atau nama sebenarnya Muhammad Shah Hizam mendakwa hidupnya kini dalam tekanan dek kerana kecaman serta ugutan bunuh yang diterima, lapor Harian Metro.

“Saya tak sokong kekejaman haiwan, jauh sekali berniat nak mencederakan atau membunuhnya,” katanya.

Nama Shah mula menjadi bualan netizen selepas tular video yang mendakwa dia bertindak kejam dengan menyeksa dan membunuh Rocky di Taman Telok Gedong Indah, Klang pada 29 Julai lalu.

Shah Turut Bersedih Dengan Kematian Rocky, Dakwa Kedatangannya Bukan Untuk Cedera Atau Bunuh Rocky

Jelas Shah yang berusia 24 tahun, dia turut bersedih dengan kematian Rocky namun menegaskan, dia berada di situ untuk menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepadanya.

“Saya tidak hadir pada malam itu dengan niat untuk mencederakan, jauh sekali untuk membunuh mana-mana haiwan,” ujarnya.

Shah berkata demikian ketika sidang media #Justiceforshah di Bukit Jelutong, Shah Alam hari ini (13 Ogos).

Peguam Tegas Shah Tidak Memandai-Mandai, Hadir Sebagai Wakil Penduduk & Telah Diberi Taklimat Cara Tangkapan

Dalam pada itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali menegaskan anak guamnya itu tidak mengambil tindakan semborono atau memandai-mandai.

Ini kerana Shah hadir sebagai wakil penduduk yang dijemput secara bertulis oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan Sama Gagah, Taman Teluk Gedung Indah, Klang untuk membantu operasi yang dijalankan oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

“Semua peserta yang terbabit pada malam kejadian sudah diberi taklimat penuh oleh anggota MBDK sendiri. Mereka (MBDK) tunjuk cara nak buat tangkapan.

“Paling penting, kena tahu yang alat penjerut leher (loop) itu bukan milik peribadi Shah, sebaliknya pihak MBDK yang bekalkan,” katanya.

Peguam Dakwa Keadaan Jadi Kelam Kabut Berpunca Tindakan Wanita Mengaku Sebagai Pemilik Anjing

Tambah Muhammad Rafique, keadaan pada malam kejadian mula menjadi kelam kabut berpunca akibat tindakan seorang wanita yang mengaku dirinya sebagai pemilik anjing berkenaan.

“Berdasarkan apa yang Shah lihat sendiri, wanita tu tiba-tiba datang peluk dan duduk atas badan Rocky sebab nak halang anjing tu dibawa pergi.

“Waktu itu berlaku tarik-menarik sedangkan alat loop masih ada kat leher Rocky. Keadaan jadi tegang dan sangat kelam-kabut,” katanya.

12 Ekor Anjing Berjaya Ditangkap Tanpa Kecederaan Dalam Operasi Sama, Shah Jadi Mangsa Buli Siber

Dakwa Muhammad Rafique lagi, sebanyak 12 ekor anjing liar berjaya ditangkap tanpa sebarang kecederaan dalam operasi yang sama.

“Hanya Rocky, satu satunya anjing yang disahkan mati akibat insiden kekecohan itu.

“Susulan penularan video separuh masa yang disunting, Shah menjadi mangsa buli siber yang ekstrem.

“Identitinya didedahkan secara meluas (doxxing), dilabel sebagai pembunuh serta menerima ancaman bunuh terhadap diri dan keluarganya.

“Tuduhan penghinaan dan ancaman memberikan tekanan emosi yang amat berat kepada diri dia (Shah).

“Wajah dan identiti Shah disebarkan secara meluas. Dia dilabel sebagai pembunuh dan penyeksa haiwan. Ada yang mendoakan kecelakaan kepada keluarga Shah,” jelasnya.

Gambar Imbasan X-Ray Kononnya Tulang Belakang Rocky Dipercayai Palsu

Tambah Muhammad Rafique lagi, pihaknya turut mengecam tindakan penyebaran sekeping gambar imbasan X-ray kononnya merupakan tulang belakang Rocky yang dipatah akibat dipukul sehingga tular.

“Kita dimaklumkan ia palsu. Kita pun tak tahu gambar X-ray itu daripada siapa, daripada mana, timbul daripada mana,” jelasnya.

Pada masa sama, Muhammad Rafique memaklumkan pasukan peguam kini sedang giat mendokumentasikan segala komen yang berbaur fitnah serta ugutan di media sosial.

“Kita tidak akan teragak-agak untuk memulakan tindakan undang-undang sivil, termasuk saman fitnah ke atas individu atau portal yang mencetuskan provokasi dan memburukkan nama Shah,” katanya.

Selain Muhammad Rafique, sidang media itu turut dihadiri oleh pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung, Mahmud Jumaat dan Akif Rusli.

Tonton video di bawah.

Baca Artikel Berkaitan: Pemilik Rocky Akui Tiada Lesen Namun Mahu Siasatan Telus Dijalankan

Baca Artikel Berkaitan: Isu Kematian Anjing Rocky: Cerminan Sistem Yang Tidak Berperikemanusiaan – Lee Lam Thye

Baca Artikel Berkaitan: Isu Kematian Anjing Rocky: Mekyun Mohon Maaf, Terlalu Cepat Buat Kesimpulan

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved