Isu ketegangan kaum: Mana Ambiga, Surendran, Latheefa Koya? - Soal AMK

LocalPolitics
10 Mar 2026 • 10:43 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Danish Hairudin

PUTRAJAYA – Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempersoalkan sikap beberapa aktivis yang didakwa berdiam diri dalam isu ketegangan kaum yang berpotensi menggugat keselamatan awam.

Danish Hairudin berkata, situasi berkenaan menimbulkan tanda tanya kerana individu yang sebelum ini lantang memperjuangkan hak asasi kini dilihat tidak bersuara.

“Dalam isu ketegangan kaum yang boleh menggugat keselamatan awam dan menjejaskan nyawa rakyat, suara yang biasanya begitu lantang memperjuangkan hak asasi tiba-tiba menjadi sunyi. Isu politik mereka paling bising tetapi isu ketegangan kaum mereka paling senyap.

“Mana S Ambiga? Mana N Surendran? Mana Latheefa Koya?” soalnya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Menurut Danish, suara-suara tersebut pernah terlibat pada peringkat awal isu yang kini kembali hangat diperkatakan.

“Suara-suara ini pernah terlibat pada hari-hari awal isu yang kini kembali hangat diperkatakan. Jangan lupa.

“Jangan baling batu sembunyi tangan sekarang apabila isu rumah-rumah ibadat ini sudah mencapai tahap didih,” jelas beliau.

Beliau berkata, rakyat berhak mengetahui mengapa suara moral yang sering mendakwa mempertahankan prinsip keadilan dan kemanusiaan kini dilihat seolah-olah tidak kedengaran.

“Rakyat berhak bertanya, ke mana hilangnya suara moral yang sering mendakwa berdiri di atas prinsip keadilan dan kemanusiaan?

“Adakah prinsip itu hanya muncul apabila isu tersebut boleh dipolitikkan untuk menyerang kerajaan?” ujarnya.

Tambah Danish, komitmen terhadap keadilan dan keharmonian masyarakat seharusnya dizahirkan secara konsisten.

“Jika benar komited kepada keadilan dan keharmonian masyarakat, keberanian bersuara seharusnya konsisten, bukan hanya apabila ia selari dengan kepentingan politik tertentu,” katanya.